KERAJAAN PAHANG BERI SUMBANGAN TUNAI KEPADA SETIAP KELUARGA TERKESAN AKIBAT BANJIR

KUANTAN, 17 FEBRUARI 2021: Kerajaan Pahang bersetuju membuat sumbangan tunai RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta rumah saudara-mara, susulan terkesan bencana banjir pada Januari lepas.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan tunai dengan nilai sama juga akan diberikan kepada peniaga-peniaga di gerai-gerai dan rumah kedai-rumah kedai, yang turut mengalami bencana sama di seluruh negeri.

Beliau berkata, jumlah kesemua penerima ialah 18,726 orang melibatkan peruntukan kira-kira RM9.4 juta dan keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang dipengerusikan beliau pagi tadi.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Mesyuarat hari ini juga mengambil maklum, Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri, meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR.

“Bernilai keseluruhan kira-kira RM4.3 juta, sumbangan Kerajaan Persekutuan menerusi NADMA ini hanya meliputi kira-kira 8,600 KIR,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Beliau juga berkata, selain itu, Kerajaan Pahang juga menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa Rumah untuk selama tiga bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki, akibat bencana sama.

Menurutnya, jumlah KIR terbabit ialah 27 orang manakala peruntukan disediakan bagi menampung kos sewaan rumah selama tempoh tiga bulan berkenaan ialah kira-kira RM16,800.

“Sukacita juga saya maklumkan, mesyuarat MMK Negeri pagi ini turut bersetuju menyumbangkan sebuah komputer riba setiap seorang kepada penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Negeri Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

“Saya berharap, dengan bantuan kewangan serta peralatan yang saya umumkan hari ini, ia dapat sedikit-sebanyak meringankan beban ditanggung akibat bencana banjir, serta masalah pembelajaran dalam tempoh mencabar menghadapi wabak pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download