Muhammad Haiqal Huzaimi Norsyam, 13.

KERAJAAN PAHANG BANTU BIAYA PEMBEDAHAN JANTUNG BERLUBANG ADIK HAIQAL

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib

KUANTAN, 15 OKTOBER 2020: Bapa kepada adik Muhammad Haiqal Huzaimi Norsyam, 13, yang menghidap penyakit jantung berlubang berterima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana sudi membantu membiayai pembedahan anaknya itu di Institut Jantung Negara (IJN).

Norsyam Abdul Latif, 41, berkata, sebelum ini pelbagai ikhtiar sudah dilakukan oleh mereka sekeluarga antaranya menyimpan sebahagian hasil jualan popia berperisa bersama isteri, Rozela Ismail, 42, dan upah kerja pengubahasuaian rumah namun masih tidak mencukupi.

“Tetapi Alhamdulillah dan terima kasih kepada Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana sudi membiayai pembedahan anak saya. Sepatutnya pembedahan dilaksanakan pada Ogos lalu namun berlaku perubahan dan dianjakkan kepada 4 November ini,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.

Keluarga adik Muhammad Haiqal Huzaimi Norsyam, 13, bertemu dengan pegawai di kaunter aduan Unit Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang di UTC untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan.

Menceritakan keadaan anaknya itu, beliau berkata, penyakit jantung berlubang itu menyebabkan saluran darah dalam paru-paru anaknya sempit dan oksigen kurang sehingga bibir serta tangannya bertukar kebiruan.

“Muhammad Haiqal sudah dirawat beberapa di hospital namun belum pernah menjalani pembedahan namun doktor mengesorkan supaya pembedahan itu dilakukan segera bagi membolehkan saluran darah anaknya kembali mengembang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, Kerajaan Pahang akan membiayai sepenuhnya kos pembedahan adik Muhammad Haiqal di Institut Jantung Negara (IJN).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Beliau berkata, sebelum ini kisah adik Muhammad Haiqal tular di Facebook apabila ibunya terpaksa meminta derma daripada orang ramai untuk kos pembedahan anaknya.

“Sebaik membaca ‘posting’ berkenaan, saya meminta mereka menghubungi saya dan Alhamdulillah selasa lalu, keluarga ini telah bertemu dengan pegawai di kaunter aduan Unit Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang di UTC untuk menyerahkan dokumen yang berkaitan.

“Sewaktu Mesyuarat Exco semalam juga, saya telah memaklumkan perkara ini kepada YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy serta rakan Exco yang lain dan bersetuju dengan pemohonan saya untuk membantu adik ini sehingga pembedahannya dapat dilaksanakan kelak. Alhamdulillah Kerajaan Pahang akan membantu membiayai sepenuhnya pembedahan adik Muhammad Haiqal,” katanya di sini hari ini. – PAHANGMEDI

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

 189 total views

Please follow and like us:
error
error: