Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

KERAJAAN PAHANG BANGUNKAN PROGRAM MAHIR TUTOR UNTUK PELAJAR SEKOLAH MENENGAH AGAMA

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 21 JANUARI 2021: Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memperkenalkan Program Mahir Tutor bagi semua Sekolah Menengah Agama (SMA) negeri Pahang dengan menyediakan khidmat kelas tambahan yang dikendalikan oleh guru-guru berpengalaman dalam membangunkan kurikulum di peringkat kementerian.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ini merupakan usaha Kerajaan Pahang bagi membantu guru dan pelajar dalam subjek-subjek seperti matematik, sains, geografi, sejarah, fizik dan sebagainya.

“Program Mahir Tutor ini dapat membantu meningkatkan kefahaman supaya pelajar dapat memahami pembelajaran dengan lebih mudah selain menyediakan maklumat pembelajaran dengan tepat dan lengkap.

“Ia juga bertujuan untuk memastikan supaya pelajar dapat mengikuti pelajaran dengan teratur dan tersusun serta mengelakkan keciciran dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual di media sosial, di sini.

Katanya, hasil penelitian JAIP sepanjang perlaksanaan program tersebut pada tahun lalu, sebanyak 20 peratus pelajar yang gagal mengikuti sistem pembelajaran dalam talian berpunca daripada empat faktor.

“Faktor pertama, terdapat pelajar dikenalpasti tidak mempunyai peralatan, kedua, ada pelajar yang mempunyai peralatan tetapi terpaksa berkongsi dengan adik-beradik lain kerana ibu bapa tidak mampu menyediakan peralatan untuk setiap anak.

“Namun faktor ketiga, ada juga yang mempunyai peralatan tetapi tidak mempunyai akses internet yang baik dan keempat, ada juga pelajar yang culas daripada pembelajaran dalam talian,” katanya.

Katanya, Kerajaan Pahang berusaha untuk membantu sejumlah 20 peratus pelajar ini supaya mereka tidak ketinggalan di dalam pembelajaran.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesemua 18 SMA di Pahang akan dibuka bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti Sijil Menengah Agama (SMA) bagi pelajar tingkatan empat; Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelajar tingkatan lima dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi pelajar tingkatan enam.

Kesemua mereka perlu menjalani sesi pembelajaran bersemuka seperti biasa di sekolah masing-masing denan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga pula, mereka akan menjalani pembelajaran dalam talian dengan dibekalkan e-book bagi subjek-subjek agama dan berkaitan.

Selain itu, guru dan pelajar juga perlu menggunakan aplikasi atau perisian seperti whatsapp, telegram, google meet, zoom dan skype di samping mewujudkan “google classroom” bagi matapelajaran yang telah dijadualkan.

Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang berharap agar dapat menghasilkan produk terbaik menerusi SMA negeri meskipun di dalam suasana norma baharu namun tetap dapat memastikan pelajar dapat belajar dengan sebaiknya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download