Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BERA, 21 JANUARI 2021 : Kerajaan Pahang telah bersetuju untuk mewujudkan Pusat Penempatan Serbaguna (PPS) secara kekal di beberapa daerah yang terkesan teruk akibat banjir di negeri ini.
Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang telah berbincang supaya sekurang-kurangnya satu atau dua atau tiga daerah ada satu PPS.
Beliau berkata, ini bukan Pusat Pemindahan Sementara tapi Pusat Penempatan Serbaguna.
“Setakat ini kita belum putuskan lagi tapi yang pasti akan dibuat. Bergantung kepada lokasi dan tempat-tempat yang difikirkan sesuai setelah kita mendapat pandangan daripada semua pihak, sebab kita tak nak buat benda ni (PPS), bila banjir tak boleh nak access tempat-tempat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sukarelawan Pahang di SMK Mengkarak, Guai, di sini hari ini.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norulazali Sulaiman; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.
Beliau berkata Pusat Penempatan Serbaguna ini akan dilengkapi dengan kemudahan asas bagi menampung mangsa banjir.
“Cadangan kita ialah tempat tersebut boleh menampung mangsa-mangsa banjir dengan kemudahan-kemudahan yang akan disediakan.
“Maknanya tandasnya lebih elok, ada tempat makan, dan sebagainya. Tidak macam sekarang ni, bila banjir pindah, bila banjir, pindah. Macam tahun ni, kita pindah Pusat Penempatan Sementara pun banjir juga.
“Jadi banyak perkara yang perlu kita kaji tapi ini satu perkara baru yang akan kita laksanakan untuk menghadapi andainya berlaku banjir lagi di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bantuan banjir semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata sebarang bantuan bagi mangsa banjir di negeri ini perlu mendapat kelulusan pihak polis terlebih dahulu.
“Bantuan (banjir) kena isi borang, kemudian kalau ada kelulusan InsyaAllah PDRM akan bagi laluan. Kalau tak ada kelulusan, tak boleh.
“Sebab bila PKP, adalah sekatan dari daerah ke daerah, jadi kena ada kebenaran. Tapi InsyaAllah bila ada permohonan, ada syarat-syarat tertentu kalau sekiranya dipatuhi, pihak PDRM akan bagi kebenaran,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang memberikan bantuan sebanyak RM1 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor yang memberi bantuan sebanyak RM1 juta kerana sumbangan daripada mereka ini, saya percaya sedikit sebanyak akan dapat membantu mangsa-mangsa banjir di negeri Pahang.
“Dan Kerajaan Negeri sendiri telah membelanjakan RM12 juta sehingga hari ini untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Duit Kerajaan Negeri, ini tidak termasuk daripada segi barangan ataupun peralatan atau lain-lain yang Kerajaan Negeri telah keluarkan,” katanya. – PAHANGMEDIA