Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda (tiga kanan) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad (empat kiri) serta tetamu jemputan pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Makmur Tanjung Jambu dan Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang Daerah Lipis di Kampung Tanjung Jambu, Lipis.

KERAJAAN PAHANG AKAN BINA 8,000 UNIT RUMAH MAKMUR DI SELURUH PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

LIPIS, 19 DISEMBER 2020 : Kerajaan Pahang akan membina kira-kira 8,000 unit Rumah Makmur di seluruh negeri ini secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata jumlah tersebut melibatkan 11 buah projek secara keseluruhan.

“11 buah projek Rumah Makmur ini akan dijalankan di seluruh negeri ini dengan pecahan sebuah daerah, satu projek Rumah Makmur.

“Cadangan pembinaan adalah sama di setiap tempat iaitu jenis rumah teres setingkat dengan keluasan 850 kaki persegi dan berharga RM80,000 seunit,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas mewakili Menteri Besar Pahang merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perumahan Makmur Tanjung Jambu dan Penyerahan Kunci Rumah Rakyat Pahang Daerah Lipis di Kampung Tanjung Jambu , di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Lipis, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Setiausaha Bahagian (Bahagian Perumahan), YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman; Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long; ADN Cheka, YB. Encik Lee Ah Wong; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Beliau berkata permintaan yang diterima juga adalah sangat menggalakkan setakat ini terhadap projek-projek Rumah Makmur yang dibuka kepada orang ramai.

“Untuk hari ini sahaja, dalam tempoh tidak sampai dua jam program ini, kita dimaklumkan terdapat hampir 70 orang yang hadir untuk memohon rumah ini.

“Jumlah ini tidak termasuk yang memohon melalui atas talian dan sebelum ini lagi, sedangkan rumah yang akan dibina adalah sebanyak 90 unit sahaja dan dijangka siap dibina pada hujung tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata pembinaan Rumah Makmur ini merupakan projek keempat Rumah Makmur yang dijalankan di negeri ini.

“Ini (projek Kampung Tanjung Jambu) adalah selepas Kampung Tiram, Tanjung Gahai dan Benta.

“Bermula tahun hadapan, kita (Kerajaan Pahang) akan menjalankan lebih banyak lagi projek Rumah Makmur bagi menampung permintaan orang ramai yang menginginkan rumah mampu milik di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 4,757 total views,  27 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download