KERAJAAN NEGERI TAWAR LEBIH 5,000 HEKTAR TANAH KEPADA PEKEBUN CAMERON HIGHLANDS

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

JERANTUT, 29 JANUARI 2020 : Kerajaan Negeri menawarkan lebih 5,000 hektar tanah berstatus Lesen Pemilikan Sementara (LPS) kepada pengusaha kebun di Cameron Highlands berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua tanah yang ditawarkan ini melibatkan tiga mukim di daerah berkenaan.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju semua tanah-tanah berstatus LPS akan dipecahkan kepada 78 blok melibatkan keluasan keseluruhan 5,526.219 hektar.

“Tanah ini akan dipecahkan kepada tiga mukim iaitu Ulu Telom dengan 58 blok, Ringlet (14) dan Tanah Rata (enam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Ramah Mesra YAB Menteri Besar Pahang Bersama-sama Pemimpin Masyarakat Daerah Jerantut Serta Pelancaran Penyerahan Watikah Lantikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Kepada JKKK Peringkat Negeri Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.

Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, YH. Dato’ Mohd. Zakaria Ibrahim; Pengarah Tanah dan Galian Pahang, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan Yang DiPertua Majlis Daerah Jerantut, YM. Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Beliau berkata buat masa ini seramai 1,018 penama yang merupakan pemegang LPS sebelum ini telah dikenalpasti bagi ditawarkan penyewaan tersebut.

“Surat tawaran akan dikeluarkan secara berperingkat bermula hari ini dengan setiap penyewa akan ditawarkan tanah berkeluasan tiga ekar maksimum.

“Penyewa juga akan ditawarkan tempoh penyewaan selama tiga tahun dan akan tertakluk kepada beberapa syarat yang akan ditentukan antaranya mewajibkan persijilan Amalan Pertanian Baik (MyGap) bagi menyambung tempoh sewaan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk memberi milik 78 blok ini kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada hari ini.

“PSK pula akan memajak tanah ini kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) sebelum dipajak kecil kepada Pahang Corporation Sdn Bhd (PCSB).

“PCSB selaku pengurus hartanah akan menyewakan sebahagian tanah tersebut kepada pekebun-pekebun yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPTD) Cameron Highland,” katanya.

Menurut beliau, sewaan yang juga dikenali sebagai sewaan berdaftar ini secara tidak langsung akan menjamin sumber makanan yang bersih dan kelestarian alam sekitar.

“Sewaan ini juga dapat meningkatkan kecekapan pengurusan tanah selain para pekebun turut menerima tempoh sewaan yang lebih lama berbanding kaedah LPS sebelum ini yang hanya setahun sahaja,” katanya.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: