YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama atlet para pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Atlet Pahang ke ParaSukma Perak.

COVID-19: KERAJAAN NEGERI TANGGUH PROGRAM BERSKALA BESAR

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 14 MAC 2020 : Kerajaan Negeri Pahang menangguhkan beberapa program berskala besar yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat susulan penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara program yang ditangguhkan sehingga satu tarikh baharu adalah Forum Pelaburan dan Festival Pahang (FPFP) yang akan diadakan pada 8 April sehingga 12 April depan.

“Setakat ini yang kita tangguhkan (program) adalah majlis konvokesyen Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) yang sepatutnya berlangsung pada hari ini.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Bagi FPFP kita dah buat keputusan untuk tangguh sebab ia dibuat di Kuala Lumpur, yang mana ia berisiko tinggi kerana melibatkan ramai peserta dan ada juga peserta daripada luar negara yang terlibat, jadi Kerajaan Negeri telah buat keputusan ia ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Atlet Pahang ke ParaSukma Perak di Hotel Seri Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Johari Haji Hussain; Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Pahang (PESRON), YH. Dato’ Haji Mohd Zaili Haji Besar dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Muazamir Haji Jili.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan mesyuarat berkaitan isu ini dalam masa terdekat oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak selaku Pengerusi Bencana Negeri Pahang.

Mengulas mengenai peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling baru-baru ini yang diminta untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, beliau menasihatkan orang ramai yang turut serta ke perhimpunan itu untuk membuat pemeriksaan di premis kesihatan yang terdekat.

“Kita juga menggalakkan barisan exco sekarang ini untuk buat pemeriksaan berkaitan virus ini kerana kita tak nak rakyat panik apabila mendengar berita yang tidak sahih.

“Saya nasihatkan supaya kita tidak mendengar khabar-khabar angin kerana sumber yang dipercayai adalah daripada sumber Jabatan Kesihatan Negeri Pahang sahaja,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download