YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaian insentif kepada atlet para pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Atlet Pahang ke ParaSukma Perak.

KERAJAAN NEGERI TAMBAH RM1,000 UNTUK PEMENANG PINGAT SUKAN PARA SUKMA JOHOR 2020

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 14 MAC 2020 : Kerajaan Negeri akan memberikan tambahan sebanyak RM1,000 kepada setiap pemenang pingat pada temasya sukan Para SUKMA Johor 2020.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tambahan insentif ini adalah sebagai galakan kepada para peserta temasya sukan berkenaan.

“Bagi acara individu, bagi pemenang pingat emas, daripada RM4,000 kita akan bagi RM5,000, bagi pingat perak daripada RM2,000 kepada RM3,000, dan bagi pingat gangsa daripada RM1,000 dinaikkan kepada RM2,000.

“Bagi acara beregu atau trio juga akan ditambah RM1,000 menjadikan RM3,000 bagi pemenang pingat emas, RM2,000 bagi pingat perak, dan RM1,750 kepada pingat gangsa,” katanya.

YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Pemenang Pingat Atlet Pahang ke ParaSukma Perak di Hotel Seri Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Johari Haji Hussain; Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Pahang (PESRON), YH. Dato’ Haji Mohd Zaili Haji Besar dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Muazamir Haji Jili.

Beliau dalam majlis yang sama turut mengumumkan penambahan RM500 daripada nilai yang akan diberikan kepada para pemenang sekiranya jumlah kutipan pingat melebihi sasaran yang ditetapkan.

“Bagi Para SUKMA Johor 2020 bulan Ogos ini, kita telah mensasarkan untuk mengutip 15 emas, 10 perak, dan 20 gangsa dalam pelbagai ienis acara dalam sukan-sukan olahraga, memanah, tenpin bowling, lawn bowl, renang, badminton dan catur.

“Sekiranya kutipan pingat lebih daripada sasaran, kita berbesar hati untuk memberi tambahan RM500 lagi kepada setiap pemenang,” katanya.

Sebanyak RM71,050 disampaikan kepada para pemenang pingat pada temasya sukan Para SUKMA Perak 2018 yang melibatkan 28 penerima iaitu sembilan pemenang pingat emas, lima pemenang pingat perak, dan sembilan pemenang pingat gangsa. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download