Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 10 JULAI 2020 : Sebanyak RM5,000 disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada beberapa keluarga yang dilanda musibah di sini.
Sumbangan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, Dato’ Mohd Fakharuddin Mohd Ariff itu turut melibatkan bantuan berupa barang keperluan asas kepada empat keluarga berkenaan.
Beliau berkata sumbangan ini melibatkan keluarga yang terjejas akibat ribut yang melanda baru-baru ini, kematian serta orang uzur.
“Diharapkan sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung serta kegusaran mereka yang terjejas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke Kampung Orang Asli Sena di sini hari ini.
Beliau juga berkata lawatan hari ini adalah program mingguan oleh pejabat ADN Bebar ke seluruh kawasan Bebar bagi mengetahui masalah setempat yang berlaku.
“Program lawatan dan ziarah kasih ini dilakukan setiap minggu sama ada oleh saya sendiri atau wakil dari pejabat ADN Bebar bagi mengetahui permasalahan yang berlaku di sini dan menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya. -PAHANGMEDIA