Kerajaan Negeri Senarai Hitam Penerima Jual Tanah

KUANTAN, 30 NOVEMBER 2019 : Kerajaan Negeri mengenakan tindakan menyenarai hitam penerima tanah yang menjual semula tanah mereka untuk mendapatkan keuntungan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan ini diambil kerana ia tidak mematuhi hasrat kerajaan negeri yang mahukan setiap rakyat di negeri ini mempunyai tanah.

“Kalau dia (penerima tanah) jual, kita akan senarai hitamkan untuk terima tanah tetapi kalau pemberian berdasarkan kasih sayang itu perkara lain.

“Kalau dia jual, kita tahu niat dia mohon tanah kerajaan untuk jual, maknanya tak baguslah kerana kita mahu rakyat negeri Pahang ada tanah dan bukan untuk tujuan dijual semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Suratan Hak Milik oleh YAB. Menteri Besar Pahang di Kampung Sri Mahkota, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abdul Rahim Muda; Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Mohd. Shahar Abdullah; dan Pegawai Daerah Kuantan YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Seramai 71 daripada 153 penerima hadir menerima surat hak milik tanah seluas kira-kira 40.46 hektar keseluruhan pada majlis ini.

Mengulas mengenai tempoh yang lama bagi meluluskan permohonan pemilikan tanah di negeri ini, beliau berkata, terdapat pelbagai proses yang perlu dilakukan untuk membuat permohonan sebelum ini.

“Saya difahamkan di Kampung Sri Mahkota ini, mereka telah memohon hak milikan tanah sejak tahun 1985 lagi walaupun kampung ini dibuka pada tahun 1960-an.

“Sebab dulu untuk mohon tanah ini kita dapati banyak proses dia. Kena iklan, kena temuduga, dan sebagainya…Tapi sekarang kita Kerajaan Negeri kenal pasti ada berlaku kelewatan dan kita percepatkan tanpa ikut proses sebelum ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pemilik tanah yang menerima hak milikan tanah ini hanya perlu membayar cukai tanah sebanyak RM5 setahun dan tidak terlibat sama sekali dengan kenaikan cukai tanah yang diumumkan sebelum ini kerana keluasan tanah mereka di bawah 4.46 hektar.

 48 total views,  4 views today

Please follow and like us:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: