Kerajaan Negeri Sasar Kutipan Hasil RM1 Bilion Dalam Tempoh 4 Tahun

KUANTAN 02 DISEMBER 2019 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan pendapatan hasil negeri ini berjumlah RM1 billion dalam tempoh tiga hingga empat tahun bermula tahun hadapan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri kini sedang menggembleng usaha ke arah sasaran tersebut bagi memacu pembangunan negeri Pahang.

“Kita turut menyasarkan 80 peratus kutipan daripada tunggakan hasil tanah yang ada pada tahun hadapan.

“Kita kena guna kaedah pemikiran di luar kotak, jangan guna kaedah lama untuk pastikan sasaran 80 peratus ini dapat dicapai pada tahun 2020,” katanya ketika berucap di Program Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga dalam usaha untuk menarik pelaburan yang banyak daripada luar negara antaranya dari negara Singapura, China dan Thailand.

“Disamping itu, kita juga menyasarkan untuk menarik pelaburan daripada syarikat konglomerat dalam negara untuk turut melabur di negeri Pahang,” katanya.

 26 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *