KERAJAAN NEGERI SASAR 15 JUTA PELANCONG SEMPENA VM2020

OLEH: Ain Nadhirah Basha
FOTO: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 01 JANUARI 2020 : Kerajaan Negeri menyasarkan kedatangan 15 juta pelancong ke negeri Pahang sempena Tahun Melawat Malaysia (VM) 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Abd. Rahim Muda berkata jumlah pelancong yang ramai akan meningkatkan peluang perniagaan kepada penduduk di negeri ini.

“Kita menyasarkan 15 juta pelancong akan singgah di Pahang dan membelanjakan RM18 bilion di sini.

“Dengan bertambahnya kehadiran pelancong ke Kuantan, ia akan meningkatkan lagi permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan seperti penginapan, makanan dan pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Nite Zoo & Visit Malaysia 2020 di Zoo Mini Teruntum, di sini, malam tadi.

Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, YBhg. Dato’ Haji Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar.

YB Abd. Rahim berkata peningkatan ini selari dengan slogan “Think Tourism, Act Tourism” yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

“Peluang-peluang perniagaan akan terbuka luas kepada penduduk khususnya di Kuantan untuk melibatkan diri dalam pengusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), perhotelan, pengangkutan dan sebagainya.

“Inilah yang dislogankan kerana setiap manfaat daripada kedatangan pelancong ke Negeri Pahang ini turut akan memberi kebaikan dan akan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kejayaan kempen VM 2020 ini bergantung kepada perlaksanaan promosi efektif yang perlu dimainkan oleh setiap lapisan masyarakat.

“Sekiranya kita inginkan industri pelancongan kekal kompetitif, ia perlu bergerak seiring transformasi digital dengan menekankan kepada promosi digital menggunakan pelbagai platform media sosial.

“Sewajarnya kita manfaatkan sepenuhnya pembangunan era digital dalam membantu kita menjayakan kempen dan berkongsi kepada semua tentang kecantikan, keamanan dan keindahan negeri ini khususnya bandar Kuantan.

“Ini terutamanya dari segi hospitaliti bagi memastikan setiap pelancong bukan sahaja teruja dengan keindahan negeri ini, malah mereka akan setia dan kembali lagi ke sini di masa-masa akan datang,” katanya.

Beliau dalam ucapannya turut berharap supaya orang ramai dapat mempertingkatkan budaya menjaga kebersihan persekitaran dan kemudahan awam serta memastikan bandar Kuantan menjadi destinasi pelancongan yang selesa, indah dan selamat dilawati.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: