YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Lawatan Kerja Permulaan Kerja-kerja Segera Mengatasi Kekeruhan Yang Tinggi di Loji Rawatan Air Sungai Semantan dan Sungai Kelau, Raub hari ini.

KERAJAAN NEGERI PERUNTUK RM9.4 JUTA UNTUK KELUARGA TERLIBAT BANJIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

RAUB, 22 FEBRUARI 2021: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM9.4 juta kepada semua keluarga yang terkesan banjir di negeri ini melalui sumbangan wang ihsan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan wang ihsan ini meliputi kesemua 18,726 keluarga yang terkesan dalam kejadian banjir awal tahun ini.

“Sebanyak RM500 akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. Pada hari ini saya telah menyampaikan sumbangan wang ihsan daripada Kerajaan Negeri kepada 71 ketua isi rumah di Raub yang terkesan dengan bencana ini,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Lawatan Kerja Permulaan Kerja-kerja Segera Mengatasi Kekeruhan Yang Tinggi di Loji Rawatan Air Sungai Semantan dan Sungai Kelau di sini, hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Aziz Mat Kiram dan Ahli Dewan Negeri (ADN), YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin.

Beliau berkata, sebanyak tiga kategori penerima wang ihsan di daerah ini melibatkan jumlah peruntukkan sebanyak RM658,500 telah diberikan hari ini di Masjid Cheroh, di sini.

“Sebanyak 1,317 ketua isi rumah di daerah Raub yang terkesan banjir melibatkan 1,073 yang berpindah, 219 yang melibatkan rumah atau gerai ditenggelami air, dan 25 yang tidak berpindah namun terkesan dengan bencana tersebut.

“Sepertimana biasa, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam membantu sehabis baik bagi meringankan beban yang mereka hadapi,” katanya.

Menurut beliau lagi, kesemua mangsa daripada 10 daerah yang terlibat dengan bencana ini akan menerima bantuan wang ihsan ini dalam tempoh terdekat. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download