Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi Dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI PAHANG: KERAJAAN NEGERI PERTINGKAT AKSES INTERNET LUAR BANDAR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 NOVEMBER 2020 : Kerajaan Pahang memberi fokus utama terhadap kebolehcapaian internet di kawasan luar bandar dengan melaksanakan beberapa inisiatif bagi mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bakal menyediakan pusat internet komuniti di lokasi yang dikenalpasti bersesuaian.

“Sehingga kini terdapat sebanyak 108 pusat internet telah disediakan oleh Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia Malaysia di seluruh Pahang.

“Inisiatif pusat internet komuniti ini disediakan untuk membantu para pelajar luar bandar bagi mengikuti pembelajaran secara dalam talian dengan capaian internet yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerajaan negeri bakal mewujudkan jawatankuasa pelaksana projek JENDELA Negeri Pahang yang dianggotai oleh anggota SKMM, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri, Bahagian Kerajaan Tempatan, Bahagian Teknologi Maklumat, Pelan Malaysia Pahang Corporation Sdn Bhd dan beberapa agensi serta jabatan lain yang berkaitan.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan bertindak sebagai pemantau dan pemudahcara bagi pembinaan infrastruktur telekomunikasi baharu.

Menyentuh aplikasi PahangGo, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri mensasarkan muat turun mencecah 500,000 menjelang 2022 dengan transaksi sebanyak RM2 juta setiap bulan.

Katanya, aplikasi PahangGo merupakan satu punca pendapatan baharu bagi kerajaan negeri dan merupakan kejayaan kepada Pahang dalam usaha mengukuhkan kedudukan aplikasi terbaik dengan pelbagai kemudahan digital secara atas talian.

“Transaksi kini boleh dilakukan di hujung jari sahaja bagi pelbagai urusan seperti pembayaran parkir, pembayaran kompaun, urusan kerajaan serta pembayaran pelbagai cukai negeri,” katanya.

Sehingga kini katanya, seramai 134,000 telah memuat turun aplikasi PahangGo sejak dilancarkan pada Oktober 2019 dengan transaksi mencecah RM800,000 sebulan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM7.9 juta bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan supaya dapat memastikan program teknologi dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

Kerajaan Pahang turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi bagi membolehkan rakyat menikmati akses kepada perkhidmatan jalur lebar berkualiti tinggi yang lebih baik.

Terdapat sebanyak 1,827 struktur komunikasi yang telah beroperasi dengan 1,466 struktur di atas tanah manakala 361 struktur di atas bangunan.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong aspirasi kerajaan pusat dalam melaksanakan pelan pembangunan teknologi. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 169 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download