Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KERAJAAN NEGERI PANTAU PENCEROBOHAN TANAH HARAM DENGAN KERJASAMA MYSA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 02 JULAI 2020 : Kerajaan Negeri telah mengadakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi memantau pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerjasama ini bagi membendung dan menghentikan semua aktiviti haram berkaitan guna tanah terutamanya di Tasik Chini.

“MYSA akan membantu kita (Kerajaan Negeri) di Tasik Chini ini (untuk melihat) ada atau tidak pergerakkan jentera berat dan sebagainya. Dia (MYSA) boleh tahu, di mana kita boleh detect kalau sekiranya berlaku pencerobohan (tanah) dan sebagainya.

“Sekiranya ada, dia (MYSA) akan bagitahu pada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) atau beritahu kepada Kerajaan Negeri. Begitu juga kalau sekiranya ada berlakunya penerokaan tanah haram di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Latihan Chini, di sini.

Beliau berkata buat masa ini, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada kawasan Tasik Chini bagi mengawal sepenuhnya aktiviti perlombongan haram yang ada.

“Ketika ini kita fokus di Tasik Chini, iaitu untuk kita membendung supaya pelombongan (haram) di Tasik Chini dapat dikawal dengan sepenuhnya dan Tasik Chini akan dapat dipulihkan seberapa segera.

“Sebab sebelum itu, kita dapati memang ada perlombongan haram. Kita tidak nafikan memang ada (perlombongan haram) tapi sekarang ini dengan adanya penguatkuasaan ini ianya telah dapat dibendung,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri telah memberikan komitmen bagi memulihkan semula Tasik Chini dengan mewartakan Tasik Chini sebagai hutan simpan pada tahun lepas.

“Dalam mesyuarat exco pada tahun lepas, dan pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah pun meluluskan bagi mewartakan bahawa Tasik Chini ini tidak ada lagi aktiviti perlombongan.

“Kita telah mewartakan lebih kurang 4,000 hektar di Tasik Chini sebagai kawasan hutan simpan. Ini bermakna tidak ada aktiviti perlombongan dan sebgaainya, dan ini kita (Kerajaan Negeri) buat tahun lepas lagi. Bukan sebab PRK, orang kata Tasik Chini ini apa semua ini baru kita nak buat,” katanya lagi.

Mengulas mengenai usaha Kerajaan Negeri bagi memulihkan kembali imej Tasik Chini sebagai kawasan eko pelancongan, beliau berkata Kerajaan Negeri telah pun mempunyai perancangan.

“Ada rancangan, dari segi peruntukan dan sebagainya. Tapi ini tidaklah bermakna hari ini kita buat, esok jadi pulih. Tidak.

“Jadi rakyat pun kena faham tetapi lebih penting daripada itu adalah usaha-usaha dan langkah-langkah untuk memulihkan Tasik Chini ini telah dan sedang diambil (oleh Kerajaan Negeri). Itu yang penting,” katanya.

Beliau menjangkakan pemulihan secara penuh Tasik Chini akan dilakukan dalam tempoh 10 tahun berikutan kawasan tanahnya yang luas.

“Kita jangka tempoh untuk Tasik Chini pulih 10 tahun kerana tanahnya luas, 4,000 hektar lebih. Apabila Tasik Chini dapat dipulihkan ia akan jadi satu tempat yang sangat menarik.

“Saya difahamkan Tasik Chini ini dia punya pemandangan, keluasan, keunikan hanya ada di Tasik Chini. Tidak ada di tempat lain. Hanya ada di Tasik Chini.

“Dengan bunga teratai dan sebagainya. Itu sebelum diambil tindakan pemulihan. Jika kita dah selesai (proses) pemulihan (Tasik Chini)akan jadi lebih cantik,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: