Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

KERAJAAN NEGERI MINTA MAJIKAN KAJI SEMULA KEBAJIKAN PEKERJA

Oleh: Fansurina Abdullah

KUANTAN, 2 Jun 2020 : Kerajaan Negeri Pahang meminta agar majikan mengkaji semula kebajikan pekerja terutama bagi kilang atau perusahaan yang dibenarkan menjalankan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, tindakan ini bertujuan melindungi kebajikan pekerja dan pada masa sama menjaga kepentingan majikan itu sendiri.

“Usaha ini dibuat oleh kerajaan negeri berikutan beberapa aduan serta laporan yang diterima oleh pihak kerajaan berhubung kebajikan pekerja yang terabai di salah sebuah perusahaan dan kilang di Taman Perindustrian Kuantan, Gebeng,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata, susulan laporan dan aduan yang diterima, kerajaan negeri telah mengadakan lawatan mengejut di premis berkenaan pada 12 Mei 2020.

Lawatan tersebut melibatkan beberapa agensi dan penguatkuasaan termasuklah Jabatan Kesihatan Negeri, pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Lawatan itu antara lainnya bertujuan memeriksa tahap kepatuhan syarikat berkenaan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah Kerajaan tetapkan dalam tempoh PKPB bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Lawatan itu juga adalah untuk menyemak balas terhadap beberapa aduan termasuklah tiga pilihan yang syarikat itu berikan kepada pekerjanya iaitu yang pertama, bersetuju untuk bekerja dan dikuarantin di asrama yang syarikat sediakan. Kedua, tidak bersetuju untuk dikuarantin maka bercuti tanpa gaji dan ketiga, berhenti kerja,” katanya.

Pada lawatan tersebut, kerajaan negeri telah menyarankan agar kemudahan di asrama harus ditambah baik dan hanya pekerja yang sukarela ingin menginap di asrama sahaja dibenarkan berbuat demikian.

“Kerajaan juga meminta agar penjarakan katil juga dibuat selain menyediakan pencuci pembasmi kuman kepada pekerjanya,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismailturut meminta agar pihak kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja untuk mencari penyelesaian demi membela nasib pekerja dan rakyat negeri ini. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: