Kerajaan Negeri Masih Teliti Lokasi Tapak PDF Lynas

Oleh Shahrinnahar Latib

KUANTAN : Kerajaan Negeri masih dalam proses mengenal pasti tapak yang bersesuaian untuk dijadikan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) sisa pemprosesan nadir bumi dari kilang Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, YB. Encik Abd. Rahim Muda berkata, penelitian tersebut perlu dibuat sebelum ia dimutamadkan bagi pembinaan PDF di negeri ini.

“Setakat ini, kita dalam proses mengenal pasti kesesuaian lokasi yang dicadangkan oleh Lynas untuk mempertimbangkan syarat atau keperluan ditetapkan agensi atau jabatan terlibat.

“Ini perlu kita utamakan sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Encik Lee Chean Chung pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Encik Rahim berkata, cadangan tapak adalah tertakluk kepada syarat-syarat dan pengesahan daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ( MESTECC)

“Kita akan akur segala keputusan daripada MESTECC membabitkan isu Lynas sebab ini berdasarkan kepakaran yang mereka ada,” katanya.



 74 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *