YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melakukan gimik perasmian pada Lawatan Kerja Permulaan Kerja-kerja Segera Mengatasi Kekeruhan Yang Tinggi di Loji Rawatan Air Sungai Semantan dan Sungai Kelau, Raub hari ini.

KERAJAAN NEGERI LULUS RM18 JUTA BINA TIGA TANGKI MENDAPAN DI RAUB

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

RAUB, 22 FEBRUARI 2021: Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak RM18 juta bagi pembinaan tangki mendapan melibatkan tiga loji rawatan air bagi menangani isu kekeruhan yang berlaku.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat tiga loji utama di daerah ini yang sering mengalami gangguan bekalan air iaitu melibatkan Loji Rawatan Air Sungai Semantan, Loji Rawatan Air Sungai Klau, dan Loji Rawatan Air Sungai Bilut.

“Bagi Projek Loji Rawatan Air Sungai Semantan dan Projek Loji Rawatan Air Sungai Klau, tempoh kerja kedua-duanya adalah selama 52 minggu bermula hari ini dan dijangka selesai pada 27 Februari 2022.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Bagi Projek Loji Rawatan Air Sungai Bilut pula masih menunggu keputusan pihak Lembaga Tender Kementerian Alam Sekitar dan Air,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Lawatan Kerja Permulaan Kerja-kerja Segera Mengatasi Kekeruhan Yang Tinggi di Loji Rawatan Air Sungai Semantan dan Sungai Kelau di sini, hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Aziz Mat Kiram dan Ahli Dewan Negeri (ADN), YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin.

Beliau berkata, isu kekeruhan yang tinggi menyebabkan loji rawatan air sedia ada tidak mampu memproses tahap kekeruhan yang tinggi berbanding nilai bacaan kekeruhan yang biasa.

“Kebiasaannya, tahap kekeruhan melebihi 1,000 NTU akan memerlukan sesebuah loji rawatan air ditutup namun di Sungai Bilut, tahap kekeruhan yang dicatatkan mencapai sehingga 11,000 NTU, di Sungai Semantan sehingga 10,000 NTU, dan di Sungai Klau pula sehingga 7,000 NTU,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Lawatan Kerja Permulaan Kerja-kerja Segera Mengatasi Kekeruhan Yang Tinggi di Loji Rawatan Air Sungai Semantan dan Sungai Kelau, Raub hari ini.

Tambah beliau lagi, pembinaan tangki mendapan ini dijangka dapat membantu 19,970 pengguna keseluruhannya yang telah terkesan dengan masalah ini.

“Loji Rawatan Air di Sungai Bilut melibatkan 8,504 akaun pengguna, Loji Rawatan Air Sungai Semantan pula 7,362 akaun dan Loji Rawatan Air Sungai Klau melibatkan 4,104 akaun.

“Nilai kontrak bagi projek Loji Rawatan Air Sungai Semantan berjumlah RM5.22 juta dan nilai kontrak bagi projek Loji Rawatan Air Sungai Klau pula berjumlah RM3.41 juta,” katanya.

Beliau turut berharap masalah bekalan air yang sering terjejas dan membebankan penduduk di daerah ini untuk dapat diatasi sepenuhnya dengan pembinaan tangki ini.

“Saya berharap pihak kontraktor yang telah ditawarkan projek ini dapat melaksanakan dan menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan serta memastikan pembinaan tangki mendapan ini dapat berfungsi dengan baik dengan tujuan utama untuk mengurangkan kadar kekeruhan tinggi ke tahap yang dibenarkan.

“Saya juga berharap dengan siapnya projek ini kelak, isu bekalan air yang sering terjejas dan membebankan penduduk daerah Raub untuk sekian lama, dapat diatasi sepenuhnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download