Persidangan Dewan Negeri (DN) Pahang hari ini hanya berlangsung selama dua jam, berikutan masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KERAJAAN NEGERI DISERU SEGERA AMBIL LANGKAH SEGERA PASCA COVID-19

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

KUANTAN, 20 APRIL 2020: Kerajaan Negeri diseru supaya mengambil langkah segera pasca COVID-19 dengan mengumpulkan semua kepakaran yang boleh diperolehi untuk memberi nasihat kepada kerajaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sebagai contoh dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang dan mengadakan perbincangan bersama pihak pemain industri termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

“Saya juga menyeru kepada pentadbiran Kerajaan Negeri supaya bersedia dengan persekitaran sosio-ekonomi yang dijangkakan akan berlaku “a new-normal” ditambah pula dengan ramalan kelembapan ekonomi global yang akan menjejaskan negara.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri perlu merancang inisiatif yang lebih menyeluruh supaya semua pihak dapat bersedia dan berikhtiar bagi merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan serta memastikan jentera Kerajaan Negeri berfungsi lebih cekap dan berkesan melalui perkhidmatan yang disediakan,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah melalui Sidang Video pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian dalam satu sidang video pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Yang DiPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Baginda berharap dengan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang akan dapat memulihkan semula ekonomi negeri dan sumber kewangan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini.

Sehubungan itu, baginda berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan berjumlah RM10.65 bilion bagi membiayai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 sejak dari tahun 2016 sehingga 2020.

Ahli Dewan Negeri (ADN) bergambar sebelum bermula Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

“Dengan adanya kelulusan tersebut, rakyat dapat menikmati pelbagai kemudahan antaranya seperti jajaran jalan raya yang sistematik melalui Projek Central Spine Road (CSR) dan projek-projek bekalan air terawat bagi memastikan peratus capaian air terawat dapat disalurkan 100 peratus ke segenap penduduk negeri ini.

“Saya berharap pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 yang sedang berjalan ini dapat diteruskan dengan jayanya dalam usaha untuk memacu ekonomi negeri dan yang paling penting ia memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat saya.

“Kerajaan saya tidak terkecuali untuk turut memperuntukkan RM120.75 juta yang meningkat sebanyak 23 peratus daripada tahun lepas untuk tujuan pembangunan dan saya yakin dapat merancakkan semula perkembangan ekonomi negeri dan aliran tunai dalam pasaran setelah negara terkesan dengan wabak COVID-19,” titah baginda – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download