Kerajaan Negeri Berusaha Urbanisasikan Kawasan Luar Bandar

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi

KUANTAN, 13 Disember 2019 : Kerajaan Pahang sentiasa berusaha untuk mengurbanisasikan kawasan luar bandar supaya membangun seiring keperluan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, Kerajaan Negeri bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana agensi yang berhasrat membawa pembangunan dan kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa berunding dengan pelbagai agensi termasuk Felcra untuk mengurbanisasikan kawasan luar bandar melalui pembangunan kelapa sawit dan getah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Peserta Felcra Berhad Daerah Jerantut, di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 428 peserta menandatangani perjanjian dengan Felcra Berhad bagi tujuh projek di seluruh daerah Jerantut.

Turut hadir, Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Pahang, Encik Zulkhairi Abdul Rahim dan Pegawai Daerah Jerantut, YM. Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Projek itu ialah Jayaputra 1, Jayaputra 2, Jayaputra 3, Jayaputra 4, Kampung Som, Durian Hijau 1, Kampung Perlok, Kampung Anak Gajah, Sungai Cheka dan Sri Galong.

Sementara itu, seorang peserta, Encik Mohd. Akmal Abdul Manab, 37, berkata, usaha Kerajaan Negeri menerusi Felcra Berhad ini dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

“Menerusi projek yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad ini dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.

Seorang lagi peserta Abd Kadir, 51, berkata, peluang menjadi peserta Felcra Berhad ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang berkelayakan boleh menyertai projek yang dilaksanakan.

“Keuntungan daripada projek yang dilaksanakan oleh Felcra Berhad ini sangat membantu saya dalam perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sehingga kini, terdapat seramai 22,400 peserta Felcra di seluruh negeri ini yang terlibat dalam penanaman kelapa sawit dan getah.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download