YB. Encik Abd Rahim Bin Muda (dua kanan) berbincang ketika meninjau penempatan rumah setinggan haram di Kampung Tanjung Lumpur hari ini.

KERAJAAN NEGERI BERI PERHATIAN PENDUDUK RUMAH SETINGGAN HARAM DI TANJUNG LUMPUR

Oleh Mahathir Ali

KUANTAN, 8 MEI 2020: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Encik Abd Rahim Bin Muda hari ini mengadakan lawatan ke lokasi rumah setinggan di Tanjung Lumpur yang didiami secara haram tanpa kebenaran.

Lawatan hari ini turut dihadiri Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato Asmiza, Unit Penguatkuasa negeri Pahang, wakil Pejabat Daerah Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), ketua kampung, penghulu dan UMNO Kuantan.

Menurut YB. Abdul Rahim, terdapat 31 buah rumah setinggan di kawasan itu dimana 21 buah rumah masih didiami penduduk secara haram melibatkan 101 isi rumah walaupun ianya telah dikosongkan sebelum ini,

“Penduduk asal di kampung setinggan ini telah mendapat pembelaan Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini apabila mereka telah dipindahkan ke Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Pak Mahat yang berhampiran penempatan setinggan itu,

“Namun masih ada sebilangan penduduk lain termasuk orang luar yang hadir dan menetap di tanah Kerajaan Negeri itu secara haram, walaupun mengetahui ianya salah dan Kerajaan Negeri telah lama memindahkan penduduk asal di situ,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Antara penempatan rumah setinggan haram yang masih didiami penduduk di Kampung Tanjung Lumpur.

Beliau berkata, dalam lawatan hari ini, Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan telah mengeluarkan notis 14 hari meminta mereka yang menetap secara haram untuk kosongkan rumah berkenaan bagi kerja-kerja pembangunan dan membesarkan jalan yang dijangka selepas Aidilfitri nanti.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri tetap bersedia menawarkan mereka rumah PPR di Kampung Pak Mahat bergantung kepada kelayakan dan latarbelakang mereka setelah penilaian dilakukan sebaik mungkin,” jelasnya.

Katanya lagi, tindakan pengosongan tanah haram ini bukan sahaja tertumpu di Tanjung Lumpur malah ianya melibatkan seluruh Negeri Pahang demi kebaikan semua pihak.

“Rakyat juga diminta untuk menilai dan mendapat maklumat yang tepat berkenaan sesuatu isu yang timbul bagi mengelak salah faham dan mengundang fitnah yang akhirnya merugikan semua pihak.

Beliau yakin rakyat di negeri Pahang sentiasa berhemah dan lebih bijak ketika menilai sesuatu isu dan mereka tahu keikhlasan serta kesungguhan Kerajaan Negeri membela nasib rakyat selama ini.

Beliau turut menasihatkan pihak tertentu atau NGO perlulah berhubung dengan pimpinan setempat sebelum menyalurkan bantuan dan Kerajaan Negeri sememangnya mengalu-alukan sebarang sumbangan atau bantuan kepada penduduk dengan saluran yang betul dan bersasar, katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: