Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KERAJAAN NEGERI BERI KELONGGARAN OPERASI PREMIS DAN AKTIVITI SOSIAL DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 17 JULAI 2020 : Kerajaan Negeri memberikan kelonggaran kepada beberapa operasi premis dan aktiviti sosial bermula minggu ini.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media hari ini berkata kelonggaran ini meliputi pusat hiburan keluarga, gelanggang sukan dan reakreasi, penganjuran kejohanan sukan, dan waktu operasi premis perniagaan.

“Pusat hiburan keluarga, melibatkan arked permainan/taman ‘funfair indoor’, hiburan pendidikan (edutainment), ‘gym’ permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi, dan pusat karaoke keluarga dibenarkan dibuka berkuatkuasa 15 Julai. Walau bagaimana pun, kelab malam, pub dan disko, masih tidak dibenarkan.

“Gelanggang Sukan dan Rekreasi yang melibatkan acara sukan tiada bersentuhan fizikal dan sukan individu tanpa penonton seperti sukan permotoran termasuk perlumbaan permotoran seperti lumba motorsikal dan kereta di litar, pertandingan dan kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, jimnastik perseorangan, terjun papan anjal, kejohanan catur dan seumpamanya juga dibenarkan.

“Begitu juga dengan sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal seperti sukan berpasukan termasuk bola sepak, ragbi, bola keranjang, takraw, skuasy dan sukan tempur seperti karate, silat, taekwondo, dan sebagainya,” katanya.

Menurut kenyataan media tersebut, penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton hanya dibenarkan mulai 15 Ogos 2020.

“Antaranya seperti Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melibatkan Liga Super dan Liga Premier, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan, Liga Ragbi Malaysia (MRL).

“Penganjuran kejohanan dan pertandingan hanya terhad kepada acara atau kejohanan tempatan sahaja, tanpa penonton dan tidak melibatkan perhimpunan peserta yang ramai,” katanya lagi.

Selain itu, waktu operasi bagi semua premis perniagaan yang dibenarkan adalah mengikut lesen perniagaan yang telah diluluskan.

“Kesemua premis perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi Kerajaan sepertimana dipaparkan pada laman sesawang MKN (www.mkn.gov.my) dan portal Kerajaan Negeri Pahang (www.pahang.gov.my).

“Semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo untuk tujuan daftar pergerakan dan semakan kendiri status risiko/kesihatan,” katanya.

Beliau berkata bagi aktiviti dan acara keagamaan, sosial dan rasmi seperti mesyuarat, perhimpunan, latihan, jemaah masjid, surau dan rumah ibadah bukan Islam adalah mengikut kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya kekal patuh dengan prosesur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan walaupun Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa kelonggaran.

“Alhamdulillah, Pahang berjaya mengekalkan status kes sifar wabak pandemik COVID-19 bagi tempoh 33 hari berturut-turut pada 16 Julai 2020. Kes terakhir yang dilaporkan ialah pada 13 Jun 2020.

“Sungguhpun kes aktif dan kes baharu wabak pandemik ini telah tiada namun saya ingin menasihatkan rakyat Pahang agar kekal patuh dengan arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang Kerajaan tetapkan,” katanya.

Untuk rekod, Pahang telah mencatatkan kumulatif 365 kes positif wabak pandemik COVID-19 dengan 358 kes sembuh dan tujuh kematian. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: