Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YH Dato' Mohd Zakaria Ibrahim pada Majlis Penghargaan Petugas COVID-19 dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Negeri Pahang di Hotel Zenith, Kuantan.

KERAJAAN NEGERI BERI INSENTIF RM626,000 KEPADA 3,130 PETUGAS SEMASA PKP, PKPB

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 19 OGOS 2020 : Kerajaan Negeri akan memberikan insentif sebanyak RM626,000 kepada 3,130 kakitangan Kerajaan Negeri Pahang yang bertugas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata insentif ini adalah sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan di negeri ini.

“Sebagai menghargai jasa kakitangan kerajaan semasa tempoh PKP dan PKPB, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan insentif sebanyak RM200 kepada setiap kakitangan Kerajaan Negeri berkenaan.

“Nilai ini tak banyak tapi sebagai tanda ingatan Kerajaan Negeri, kerana memang tidak terbalas jasa baik tuan-tuan dan puan-puan terutama front liner yang duduk di hospital, yang membuat pemeriksaan dan sebagainya, sehingga ada (kakitangan) yang meninggalkan rumah, tidak balik (ke rumah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penghargaan Petugas COVID-19 dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Negeri Pahang di Hotel Zenith.

Turut hadir, YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Shamsulbahri Ibrahim; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan exco Kerajaan Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dengan petugas barisan hadapan pada Majlis Penghargaan Petugas COVID-19 dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Negeri Pahang di Hotel Zenith, Kuantan.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKP, Kerajaan Negeri telah meluluskan 29 inisiatif Bantuan COVID-19 Negeri Pahang sebanyak RM26.4 juta.

“29 inisiatif ini dijalankan dalam lima fasa yang memberi manfaat secara langsung kepada 140,000 keluarga di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM238,748 sepanjang tempoh PKP dan PKPB kepada petugas barisan hadapan yang melibatkan anggota kesihatan, polis, dan tentera,” katanya.

Tambah beliau lagi, Tabung COVID-19 Pahang yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM18 juta.

“Daripada jumlah kutipan keseluruhan ini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM15.9 juta bagi perkara berkaitan dengan COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran kempen Pembudayaan Norma Baharu yang dilancarkan, beliau berkata ini adalah selari dengan kempen yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos lepas dalam memperkasa usaha melawan wabak pandemik CIVID-19 ini.

“Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kawalan kendiri atau ‘self-regulated’, dalam kalangan masyarakat.

“Kita terpaksa membudayakan norma baharu sama ada kita suka atau tidak suka, kita kena ikut. Kerajaan buat arahan minta kita patuhi kerana kerajaan sayang kepada rakyatnya. Ini kerana jangkitan COVID-19 ini boleh tersebar dalam pelbagai cara,” katanya.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penghargaan Petugas COVID-19 dan Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu Negeri Pahang di Hotel Zenith, Kuantan.

Beliau berkata rakyat perlu terus bekerjasama dengan kerajaan khususnya para petugas kesihatan dan penguatkuasa undang-undang untuk memastikan norma baharu diamalkan bagi memutuskan rantaian wabak ini.

“Kita perlu menganggap diri kita semua sebagai petugas barisan hadapan. Pematuhan kepada SOP yang sedia ada perlu diperluaskan lagi. Kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengelakkan daripada wujudnya kluster-kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes-kes positif wabak pandemik COVID-19 di negara kita.

“Usaha membudayakan norma baharu di kalangan rakyat adalah tugas dan tanggungjawab setiap daripada kita. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi penekanan terhadap pelaksanaan CAPP, iaitu ‘Cegah, Amal, Patuh dan Pantau’,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: