Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin melihat salah seorang gelandangan mempamirkan bakatnya bermain gitar ketika melihat kelengkapan dan kemudahan yang disediakan untuk golongan itu di Pusat Perlindungan Sementara Gelandangan di Institut Latihan KEMAS Kuantan, hari ini.

KERAJAAN NEGERI BERI BANTUAN PEKERJAAN KEPADA TUJUH GELANDANGAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN , 20 APRIL 2020 : Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan pekerjaan kepada tujuh orang gelandangan yang dikenalpasti di daerah ini buat masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata bantuan ini adalah sebagai peluang kepada para gelandangan ini untuk menjana pendapatan mereka selepas ini.

“Mereka ini telah dikenalpasti dan telah pun diambil bekerja bermula 15 April lepas dengan Majis Perbandaran Kuantan (MPK) di Jabatan Landskap untuk menjaga landskap, tolong siram pokok bunga dan sebagainya.

“Mungkin selepas ini, kita dapat fikirkan sesuatu untuk menempatkan mereka (selebihnya) ini di satu tempat dan kita juga boleh bagi mereka ini peluang untuk mereka menjana pendapatan mereka sendiri. Ini nanti akan sama-sama kita fikirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Pusat Perlindungan Sementara Gelandangan di Institut Latihan KEMAS Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.

Beliau berkata terdapat seramai 37 orang gelandangan yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara ini dan dua daripadanya merupakan warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan yang ditempatkan di Pusat Perlindungan Sementara Gelandangan di Institut Latihan KEMAS Kuantan, hari ini.

“Daripada jumlah ini, saya difahamkan ada lebih kurang 10 orang di luar sana yang kita tak dapat buat apa-apa kerana mereka ini mempunyai masalah mental dan agak agresif.

“Tetapi kita dah minta JKM ambil mereka dan hantar ke tempat sepatutnya dan walaupun mereka ini berada diluar sana tapi kita telah kenalpasti identiti mereka dan mereka ini sentiasa di pantau oleh pihak Jabatan Kesihatan,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan kelengkapan dan kemudahan yang disediakan di pusat perlindungan sementara ini.

“Saya berpuas hati dengan kelengkapan yang diberi yang mana mereka juga telah mewujudkan beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Kesihatan bagi memastikan mereka ini berada dalam tahap kesihatan yang terbaik, dan saya difahamkan, mereka ini telah pun menjalani ujian COVID-19 dan semua didapati negatif, selain mereka juga disaring kesihatan setiap hari.

“Begitu juga dengan Jawatankuasa Makanan, memastikan mereka ini makan minum, dan mereka ada Jawatankuasa Kerohanian dan Jawatankuasa Kaunseling untuk memberi khidmat kaunseling kepada mereka dan mereka ini saya lihat ceria di sini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download