Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN : Kerajaan Negeri sedang dalam usaha untuk memperkenalkan sektor pertanian kepada golongan graduan tidak lama lagi.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata ia bertujuan melahirkan peladang-peladang yang berpelajaran dan berkemahiran tinggi.

“Kita mahu cari peladang-peladang berpelajaran tinggi yang kemahiran tinggi serta memiliki daya saing dalam perniagaan.

“Sebab itulah, beberapa kawasan telah dibuka dan kita akan membuka kepada graduan dan bergantung kepada syarat yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YB SUK Pahang Bersama Pegawai dan Kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Pahang di Dewan Bakawali, Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di sini hari ini.

Turut hadir YH Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Zakaria Ibrahim; YH Setiausaha Bahagian Bahagian Sumber Manusia Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif @ Ahmat; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP), Encik Mohd Nazri Abi Seman dan Timbalan Pengarah JPNP, Puan Nor Edasuriati Ibrahim.

Beliau berkata terdapat dua syarat untuk golongan graduan memasuki sektor pertanian di negeri ini.

“Syarat-syarat untuk memasuki (sektor pertanian) ada dua, salah satunya mereka perlulah graduan kursus pertanian. Mereka ini nanti akan diselia oleh Jabatan pertanian,” katanya.

Beliau turut menyarankan JPNP supaya menyusun strategi tahun ini untuk menjadikan Pahang sebuah negeri yang berdaya saing dalam bidang pertanian.

“Kerajaan Negeri Pahang juga menggalakkan Jabatan Pertanian mencari pelabur asing dari luar negeri dan pelabur-pelabur dari dalam negeri yang mampu melabur di dalam sektor pertanian negeri Pahang.

“Dan sepatutnya, kita tidak boleh berpuas hati dengan servis yang ada, kerana kita, Jabatan Pertanian Negeri Pahang perlu terus bergerak supaya industri pertanian Negeri Pahang menjadi satu profesion tahap tinggi.

Beliau turut menyampaikan surat pelantikan tugas kepada Pengarah JPNP dalam majlis yang sama.

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download