Kerajaan Negeri Akan Beri Peruntukan Untuk TKPM Jelai

Oleh Ain Nadhirah Basha

LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang akan memberi peruntukan sebanyak RM250,000 kepada Taman Pengeluaran Kekal Makanan (TPKM) Jelai di sini untuk menyediakan kemudahan di kawasan itu.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan ini akan diumumkan pada pembentangan belanjawan negeri yang akan diadakan bulan ini.

“Bajet sebanyak RM250,000 yang diberikan ini akan difikirkan keperluan di mana (untuk disalurkan) macam (bina) pondok pengawal contohnya.

“Tak banyak (peruntukan) ini untuk 200 hektar kawasan keseluruhan TKPM ini tapi diharapkan ia sedikit sebanyak dapat membantu tempat ini,” katanya ketika berucap selepas Taklimat Kemajuan Projek TKPM Jelai di Pusat Pengeluaran Hasil Ladang TKPM Jelai hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim; Yang Di-Pertua PAS Cameron Highlands, Ustaz Abdul Karim Noor dan Pengarah Pertanian Pahang, Puan Nor Edasuriati Ibrahim.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, dia berharap peruntukan yang akan diberi ini digunakan sebaiknya bagi kemudahan yang difikirkan perlu oleh peserta TKPM ini.

“Saya difahamkan Jabatan Pertanian telah memperuntukkan RM360,000 bagi pembinaan pagar elektrik bagi mengawal ancaman gajah yang memasuki dan memusnahkan tanaman di kawasan ini.

“Diharap peruntukan yang akan diberi ini dibuat pelan B bagi memastikan ancaman haiwan liar macam gajah, babi hutan ini dapat diatasi dan tidak mendatangkan kerugian kepada peserta,” katanya.

Beliau turut mencadangkan para peserta TKPM di sini untuk menanam tanaman sampingan selain nangka madu sebagai tanaman utama.

“Peserta boleh cuba selit dengan tanaman lain seperti nanas atau durian musang king asalkan bukan tanam kelapa sawit di sini selain daripada menanam nangka madu sahaja.

“Tanah 20 ekar bagi seorang peserta ini bukan mudah untuk dapat dan tanah di sini pun gred A, tanam apa pun boleh jadi. Jadi gunakan sebaiknya tanah ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para peserta TKPM supaya mengusahakan tanah di sini dengan sebaik mungkin supaya TKPM ini dapat dimajukan setaraf dengan TKPM Lanchang.

“Kejayaan ini terpulang kepada peserta, kalau nak berjaya yang penting ada disiplin dan jangan malas.

“Kalau usahakan dengan baik, peserta boleh dapat RM7,000 sehingga RM8,000 bagi satu hektar tanaman tambahan pula TKPM ini lebih kecil dari di Lanchang, jadi lebih mudah untuk dimajukan,” katanya yang berharap tanaman nangka madu dan musang king menjadi tanaman produk Jelai.

 80 total views,  2 views today

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *