Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 30 JUN 2020: Tindakan menghina Jata Negara pada kulit buku berjudul Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia amat dikesali.
Perkara berkenaan disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah yang menyifatkan tindakan menghina lambang kebesaran negara itu oleh mana-mana pihak tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sudah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sebaik isu berkenaan tular di media sosial dan Tan Sri Abdul Hamid mengesahkan siasatan sudah dijalankan oleh pihaknya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Makan Tengahari Bersama Media dan Lawatan Rasmi Ke Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) Chini, di Kampung Salong, di sini hari ini.
Turut sama, Pengarah Penerangan Pahang, Encik Mohd Salmun Mustafa dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Pahang, Encik Zahari Ismail.
Difahamkan, buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia itu diterbitkan awal tahun ini dan lebih 300 naskhah sudah terjual.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak menghina lambang Kerajaan Persekutuan Jata Negara, dan boleh disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (A) Akta Lambang dan Nama (1963).
Buku itu menggunakan visual mirip Jata Negara, mendapat perhatian sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana penggunaan gambar dikatakan menghina Jata Negara selepas perkara itu tersebar di media sosial.-PAHANGMEDIA