KUANTAN, 30 SEPTEMBER 2020: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB Dato’ Nazri Ngah yang dikehendaki menjalani ujian kedua menerusi PCR (Polymerase Chain Reaction) semalam, adalah didapati negatif.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Hj Bahari Dato’ Tok Muda Che Awang Ngah kepadanya pagi ini.
Beliau turut dimaklumkan kesemua mereka yang terlibat dengan Dato’ Nazri sebelum ini, tiada risiko dijangkiti.
“Sungguhpun begitu, saya merayu kepada orang ramai supaya meneruskan amalan-amalan yang disarankan sepertimana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keslamatan Negara (MKN).
“Kita tidak boleh sekali-kali alpa tentang perkara ini kerana wabak pandemik COVID-19 masih berada dalam komuniti kita yang wajib berwaspada serta berusaha untuk membendung dan mengatasinya,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri yang bertindak pantas dalam menangani isu terkini yang dihadapi.-PAHANGMEDIA
328 total views