Orang ramai berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah Kuantan untuk menyatakan sokongan kepada Kerajaan Pahang dalam isu pekebun haram durian Musang King.

KEPUTUSAN PERMOHONAN SEMAKAN KEHAKIMAN PEKEBUN MUSANG KING 23 DISEMBER INI

Oleh: Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 09 DISEMBER 2020: Keputusan terhadap permohonan pekebun durian Musang King untuk mendapatkan semakan kehakiman berkenaan arahan mengosongkan kebun mereka oleh Kerajaan Pahang akan diketahui 23 Disember ini.

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan keputusan terhadap permohonan 204 pekebun durian di Raub itu ditangguhkan kepada tarikh baharu selepas terdapat percanggahan dalam permohonan yang dikemukakan.

Hakim Mahkamah Tinggi, YA Dato’ Haji Zainal Azman Ab. Aziz berkata, perintah penggantungan terhadap notis untuk mengosongkan kebun yang sepatutnya berakhir hari ini juga akan dilanjutkan sehingga tarikh baharu yang ditetapkan.

“Saya lihat terdapat dua notis permohonan berbeza yang difailkan iaitu oleh kumpulan pertama pada 21 Ogos dan diikuti kumpulan kedua sebulan selepas permohonan pertama iaitu pada 9 Disember.

“Pihak mahkamah memerlukan kepastian kerana apabila semakan dilakukan, kita dapati permohonan kedua tidak memfailkan apa-apa afidavit dan permohonan kedua ini tidak lengkap,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Puan Noor Fadzila Ishak yang mewakili enam responden yang dinamakan dalam permohonan dan peguam, Encik Siew Choon Jern yang mewakili semua pekebun berkenaan bersetuju untuk mengguna pakai afidavit permohonan pertama kepada permohonan kedua.

Dalam prosiding berkenaan, Siew Choon Jern telah memohon supaya tempoh penggantungan terhadap pekebun dilanjutkan untuk menambah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) sebagai responden kelima namun dibantah oleh Noor Fadzila.

Siew Choon Jern dalam permohonan tersebut berkata, ini berikutan PKPP telah mengeluarkan notis pengosongan tanah pada 1 Disember lepas terhadap sebahagian pekebun.

“Notis berkenaan menyatakan sebahagian pekebun ini perlu mengosongkan tanah kebun mereka selewat-lewatnya hujung tahun ini dan turut memasang papan tanda menyatakan tanah tersebut milik PKPP,” katanya.

Noor Fadzila berkata, PKPP sebagai pemilik tanah tersebut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan notis dan memasang papan tanda berkenaan.

“Selain itu, tindakan pengosongan hanya akan dijalankan pada 1 Januari tahun hadapan terhadap mereka yang enggan mengosongkan tanah mereka dan ini tidak memberi kesan bagi melanjutkan lagi tempoh penggantungan,” katanya.

Kesemua 204 pekebun durian seluas kira-kira 2,167 hektar itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, PKPP, dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 775 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download