Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff (tengah) bergambar beramai-ramai selepas merasmikan Program penanaman dan gotong-royong anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bersama Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308B1, Malaysia di Pantai Tanjung Batu Nenasi, di sini.

KEPENTINGAN TANAM POKOK BAGI ELAK HAKISAN PANTAI

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali

PEKAN, 17 September 2020: Sebanyak 8,000 pokok Rhu Pantai ditanam di kawasan persisiran Pantai Tanjung Batu hari ini sebagai usaha kempen kesedaran pemuliharaan persisiran pantai Negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, tanaman melibatkan kawasan seluas enam hektar itu menunjukkan kepentingan hutan pesisiran pantai.

“Kepentingan kawalan iklim yang merangkumi peranan sebagai lindungan semulajadi dan zon penampan bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam iaitu sebagai benteng untuk memecah, menahan dan mengurangkan kesan pukulan ombak daripada laut.

“Selain itu, ia juga berperanan dalam menjamin keselamatan makanan (food security) dan sosioekonomi masyarakat tempatan terutamanya kepada para nelayan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kewujudan serta kelangsungan fungsi dan sumbangan hutan pesisiran pantai dapat terus dipelihara,” katanya Program penanaman dan gotong-royong anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bersama Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308B1, Malaysia di Pantai Tanjung Batu Nenasi, di sini, hari ini.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff (kiri) menanam pokok sebagai simbolik merasmikan Program penanaman dan gotong-royong anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bersama Kelab Lions.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Pahang, Dato’ Samsu Anuar Nawi; Pentadbir Daerah 308B1 Kelab Lions Antarabangsa, Encik Kenny Lau dan Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Pahang, Puan Nurfazliza Kamarulbahrin.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sentiasa memberi perhatian dan penekanan yang serius terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan hutan demi kesejahteraan rakyat Negeri Pahang.

“Ia dizahirkan melalui penyaluran peruntukan tahunan kepada Jabatan Perhutanan Negeri di bawah program-program dan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia terutamanya program penanaman pokok Bakau, spesies-spesies yang bersesuaian di pesisiran pantai negara dan lain-lain program yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Samsu Anuar Nawi berkata, hakisan pantai yang berlaku boleh menyebabkan pantai menghampiri kawasan darat sebanyak satu meter setiap 10 tahun jika tiada usaha pemulihan di kawasan persisiran pantai dilakukan.

Sebahagian peserta menanam anak pokok kelapa bagi mengindahkan dan mengawal hakisan di Pantai Tanjung Batu, Nenasi.

“Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk memulihara persisiran pantai malah di Negeri Pahang sendiri, kawasan seluas 127 hektar telah ditanam dengan pokok-pokok yang bersesuaian di tepi pantai seperti rhu, ketapang, bakau dan kelapa.

“Kawasan diteroka secara haram turut telah dipulihkan terutamanya kawasan-kawasan di Cameron Highlands yang mengalami kerosakan akibat tindakan tidak bertangggungjawab,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: