Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
PEKAN, 29 JUN 2020: Kenaikan elaun bomba bantuan daripada RM6 kepada RM8 satu jam akan dibincangkan dalam kementerian dan dibawa ke Kabinet.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, perkara berkenaan (elaun) mungkin terlepas pandang dan akan diberi perhatian sewajarnya.
“Bomba bantuan terdiri daripada masyarakat setempat yang memberi perkhidmatan dan kita bayar elaun mereka. Hari ini mereka hanya mendapat RM6 bagi satu jam…biasanya 12 jam mereka bertugas. Jadi pasukan lain seperti RELA, polis telah dapat RM8.
“Kita akan bantu mereka ini kerana mereka juga mendapat sokongan daripada kita. Saya yakin menteri, saya (timbalan menteri) dan kementerian akan cuba mencari pendekatan yang terbaik untuk membantu pasukan bomba,” katanya ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja dan penyerahan jentera di Balai Bomba dan Penyelamat Chini, di sini.
Turut sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, YH. Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin, Pemangku Pengarah Bomba Pahang, YH. Mohd Zahar Abdullah dan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), YH. Dato’ Hasbollah Osman.
Sementara itu, beliau mengingatkan pengundi di kawasan Dewan Negeri (DN) Chini diminta membuat keputusan tepat dalam memilih wakil rakyat mewakili mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DN Chini pada 4 Julai depan.
Katanya, ini bagi membolehkan wakil rakyat yang dipilih terus membawa pembangunan kepada kawasan setempat dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, hanya calon daripada kerajaan memerintah boleh melaksanakan pembangunan dan kemudahan untuk rakyat setempat.
“Di kawasan Chini ini sudah terbina sebuah balai bomba dan sudah boleh beroperasi.. Jadi saya anggap ini (kemudahan balai bomba) sebagai rezeki kepada rakyat di Chini.
“Saya minta agar pengundi Chini kena fikir-fikirkan dan pilih wakil rakyat yang tepat,” katanya. -PAHANGMEDIA