Oleh: Fairus Mohd
Foto: Mahathir Ali
KUANTAN, 18 NOVEMBER 2020: Berpengalaman lebih 17 tahun dalam bidang akuakultur penternakan udang laut, Kembang Subur Sdn. Bhd. kini meneroka kawasan baharu untuk memperluaskan usaha yang dilakukan di negeri ini.
Pengarah Urusannya, Encik Jeffrey Kc Lee berkata, usaha bermula dengan pelaburan dalam pusat pembenihan udang laut di Balok, Kuantan yang mampu menghasilkan sehingga 500 juta benih setiap tahun.
“Kami juga ada mengusahakan pusat pembenihan dan kolam ternakan udang laut seluas 60 hektar di Kampung Badong, Pekan dan telah melabur sebanyak RM50 juta bagi tujuan tersebut sejak tahun 2014.
“Hasil penternakan dapat mengeluarkan sehingga 900 tan udang laut setahun dan lebih mengujakan, pada enam bulan pertama tahun ini sahaja telah hasilkan 450 tan udang. Kita juga dalam persediaan untuk meneruskan pembangunan seluas 20 hektar lagi di kawasan sama bermula tahun hadapan,” katanya.
Beliau ditemui bersama Pengarah Urusan QL Resources Bhd, Chia Song Kooi yang mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Merupakan anak syarikat kepada QL Resources yang merupakan sebuah syarikat agromakanan multinasional, syarikat itu kini mencari ruang dan peluang terbaru untuk mengembangkan lagi usaha penternakan udang laut di negeri ini.
“Berdasarkan kejayaan dikecapi sebelum ini serta kelebihan dari segi ilmu, pengalaman dan teknologi, kami berhasrat untuk menambah pelaburan di Negeri Pahang kerana kestabilannya daripada pelbagai sudut dan peluang-peluang yang ada.
“Kami juga mahu mencipta kerjasama lebih erat dengan agensi-agensi berkaitan di negeri ini termasuk di tapak baharu yang bersesuaian di Pekan dalam tempoh masa tidak lama lagi,” katanya. – PAHANGMEDIA
606 total views