Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

KELONGGARAN PERATURAN UNTUK PENJAJA, PENIAGA KECIL BUKTI KEPRIHATINAN KERAJAAN PAHANG TERHADAP EKONOMI RAKYAT

KUANTAN, 13 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang melalui Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah melonggarkan syarat untuk para peniaga dengan memberikan kebenaran kepada mereka melaksanakan aktiviti perniagaan di mana-mana lokasi yang bersesuaian sebagai tanda prihatin terhadap keadaan ekonomi rakyat di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu dilaksanakan untuk membantu masyarakat terutamanya golongan B40 yang terkesan akibat daripada penularan wabak COVID-19 yang pada ketika ini telah mengancam pendapatan dan kedudukan ekonomi mereka.

Beliau berkata, sungguhpun dibenarkan untuk berniaga di mana-mana lokasi yang sesuai, permohonan untuk mendapatkan kebenaran tetap diperlukan daripada Majlis Perbandaran Kuantan.

Menurutnya, perkara ini penting untuk memastikan lokasi perniagaan yang dijalankan tidak menghalang lalu lintas, mendatangkan gangguan kepada penduduk setempat dan juga untuk memastikan kebersihan kawasan dapat dijaga.

“Sehingga kini sebanyak 1,210 permit harian perniagaan telah dikeluarkan oleh MPK sejak Julai 2020. Ini membolehkan golongan B40 yang terkesan akibat daripada penularan wabak COVID-19, untuk berupaya meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan golongan B40 untuk mendapat pendapatan, tetapi juga akan berupaya untuk meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dan juga ekonomi negeri secara keseluruhannya,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga berkata, selain daripada bantuan-bantuan yang telah dan akan diberikan secara terus, Kerajaan Pahang akan terus berusaha untuk memudahkan rakyat, terutamanya dalam pengurusan pentadbiran dan juga mengurangkan karenah birokrasi.

Beliau berkata, ini penting untuk memastikan seluruh rakyat Pahanag dapat dibantu secara langsung atau tidak langsung dalam mendepani keadaan yang sebegitu mencabar pada hari ini.

“Walaupun situasi COVID-19 di Pahang kini tidak kritikal seperti negeri-negeri lain, kita tetap harus memandang serius ancaman berterusan ini dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kerajaan Pahang akan terus komited dan berusaha untuk memudahkan urusan dan memberi bantuan kepada kesemua anak negeri.

“Semoga dengan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini akan dapat memberi manfaat dan mengurangkan beban yang sedang ditanggung oleh semua,” katanya.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 442 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: