Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
KUALA LUMPUR, 16 MEI 2020 : Kedutaan Perancis merakamkan penghargaan kepada bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada rakyatnya yang terkandas di Pulau Tioman sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.
Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frédéric Laplanche berkata mereka menghargai usaha bantuan membawa keluar warganegaranya dan beberapa warganegara lain ke kedutaan masing-masing oleh kerajaan Pahang.
“Kami (Kedutaan Perancis) sangat bersyukur dengan bantuan daripada Kerajaan Negeri Pahang dan pihak berkuasa negara ini kerana menjaga dengan baik rakyat kami dalam situasi ini. Terima kasih banyak-banyak.
“Kami (Kedutaan Perancis) sangat berterima kasih kerana pihak Kerajaan Negeri Pahang membantu membawa keluar mereka daripada Pulau Tioman dan menghantar mereka terus ke sini,” katanya ketika ditemui UKOMP di Kedutaan Perancis, semalam.
Seramai tujuh orang warganegara Perancis terlibat dalam bantuan penghantaran pulang pelancong asing di Pulau Tioman ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, seorang pelancong asing warga Perancis, Brand Helena Claudine, 73, berkata dia sangat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sepanjang 66 hari berada di Pulau Tioman.
“Saya rasa lebih selamat berada di Pulau Tioman semasa PKP dilaksanakan kerana keadaan pulau yang baik dan keselamatan kami juga terjaga.
“Kemudahan yang ada di Pulau Tioman seperti kedai makan juga mencukupi bagi kami ketika berada di sana. Tiada masalah kerana Pulau Tioman tempat yang menarik, selamat dan orang yang baik di sana.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana membantu saya dan rakan-rakan untuk keluar dari Pulau Tioman dan menjaga kebajikan kami dengan menghantar kami sehingga ke kedutaan masing-masing,” katanya yang akan pulang ke Paris, Ahad ini.
Untuk rekod, seramai 17 orang pelancong asing telah dihantar ke kedutaan mereka semalam dengan warganegara Perancis (tujuh orang), United Kingdom (empat orang), Italy (tiga orang), Sweden (dua orang), dan masing-masing seorang bagi Sepanyol dan Jerman. -PAHANGMEDIA