Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin menanam pokok nanas pada Program Kebun Komuniti hasil inisiatif Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di Kuantan.

KEBUN KOMUNITI PPRS PINGGIRAN PUTRA TANAM 2,000 POKOK NANAS

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 22 OKTOBER 2020: Sebanyak 2,000 anak pokok nanas ditanam dalam projek terkini Program Kebun Komuniti hasil inisiatif Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di sini.

Yang Dipertuanya, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, program berkenaan telah dilaksanakan sejak lebih tiga bulan lalu melibatkan tanaman sayur-sayuran.

“Seramai 81 orang penduduk terlibat dalam Projek Kebun Komuniti ini di mana kali ini kita kembangkan lagi usaha yang dilakukan dengan tanaman nanas jenis MD2 melibatkan empat peserta dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) Pahang.

Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin menunjukkan Program Kebun Komuniti hasil inisiatif Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di Kuantan.

“Sekiranya projek tanaman buah itu berjaya, pihaknya sedia membantu peserta termasuk memasarkan nanas sebagai sumber
pendapatan kepada peserta melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Sebagai permulaan tananam nanas ini hanya untuk kegunaan sendiri dan sekiranya projek ini berjaya, kita akan menambah
kawasan tapak yang lebih luas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program menanam anak pokok nanas di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) Pahang, Encik Muhammad Fauzan Mohd dan Setiausaha MPK, YH Dato’ Hajah Hamiza Hamzah.

Dalam pada itu, hasil tanaman sayuran seperti kangkung, bayam hijau, bayam merah, kailan dan aneka jenis sawi di 130 plot yang disediakan kini sedia dituai bagi keperluan sendiri dan dijual kepada penduduk flat.

“Kebun terung juga ada melibatkan tanaman di dalam 500 polibag selain laman herba yang menghasilkan pelbagai jenis tanaman seperti pokok mahkota dewa, tongkat ali, limau purut, limau nipis, belimbing buluh, pegaga yang mana sumber pokok diperolehi daripada bahagian landskap MPK, Jabatan Pertanian serta kebun persendirian,” katanya.

Peserta menanam pokok nanas menerusi Program Kebun Komuniti hasil inisiatif Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, di Kuantan.

Lebih istimewa katanya, penduduk flat yang memerlukan boleh bebas mengambil sayur di sebuah laman tanaman yang diberi nama Dapur Pak Mahat diusahakan lima peserta dengan tanaman seperti serai, kacang bendi, lada, halia dan lengkuas.

“Kita harapkan pembabitan penduduk PPRS Pinggiran Putra membantu mereka melakukan aktiviti sampingan serta mengisi masa
lapang.

“Selain itu, saya turut berharap agar penduduk tingkatkan faktor kebersihan. Di sini banyak kawasan tanah, apabila kita teroka dan buat kebun, dapat menghindar dari pelbagai risiko termasuk penyakit denggi.

“Kita juga tidak mahu kawasan tanah ini menjadi tempat longgokan sampah dan merosakkan suasana persekitaran PPRS Pinggiran Putra ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: