Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KEBAJIKAN RAKYAT PERLU DIUTAMAKAN DALAM BELANJAWAN 2021

KUANTAN, 6 NOVEMBER 2020: Kerajaan Pahang yakin Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan hari ini akan mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dan rakyat termiskin yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan penularan wabak COVID-19 yang masih mengancam kesihatan dan keselamatan semua, golongan yang paling terkesan adalah golongan B40 dan rakyat termiskin, malah sebilangan besar daripada mereka telah kehilangan punca pendapatan atau pendapatan mereka berkurangan secara drastik.

“Justeru, suntikan yang diperlukan untuk memacu ekonomi rakyat dan negara ini haruslah dilaksanakan secara menyeluruh, namun fokus yang harus diberikan adalah bantuan yang bersifat secara terus kepada golongan B40 yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini.

“Sebelum ini melalui beberapa siri inisiatif PENJANA, Kerajaan Persekutuan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha demi merancakkan kembali ekonomi dalam negara. Perkara ini harus diteruskan supaya kita dapat memudahkan dan menyenangkan rakyat yang terkesan akibat daripada rencatan ekonomi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, antara bantuan yang boleh memberikan impak yang besar adalah pemberian wang “one-off” kepada golongan yang amat memerlukan dan juga arahan untuk melanjutkan tempoh moratorium bagi pinjaman seperti kenderaan dan perumahan.

“Saya juga berharap di dalam pembentangan esok, insentif-insentif tertumpu kepada golongan majikan dapat dipertingkatkan bagi memastikan perniagaan atau perkhidmatan mereka dapat diteruskan sekaligus pekerja-pekerja yang berkhidmat dengan mereka akan mendapat manfaat sewajarnya.

“Kerajaan Persekutuan Malaysia diharap dapat menyeimbangkan perbelanjaan agar sektor pengurusan dan pembangunan dapat bergerak seiring dalam memulihkan kembali ekonomi negara yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 ini.

“Kita perlu mengembalikan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara, supaya kita dapat terus menjadi pilihan mereka untuk melabur di Malaysia,” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya juga meletakkan hasrat yang tinggi dan kebijaksanaan para pemimpin serta pentadbir di peringkat persekutuan, bagi memastikan Malaysia terus bergerak di landasan yang betul dalam menghadapi pelbagai situasi yang mencabar.

“Rakyat perlu sentiasa diutamakan dan segala perancangan yang dibuat oleh kerajaan pada waktu ini, harus berteraskan apa yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: