Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Wisma Belia di Kuantan hari ini.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG ZAHIR RASA SEDIH DAN BIMBANG KEADAAN BANJIR DI SELURUH NEGARA

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 06 JANUARI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini berkenaan bercemar duli melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia di sini.

Dalam kunjungan itu Seri Paduka menzahirkan perasaan sedih dan bimbang dengan keadaan banjir yang melanda negeri dan negara ini ketika ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Wisma Belia di Kuantan hari ini.

“Kita begitu sedih dan bimbang dengan keadaan banjir khususnya di Pahang dan di Malaysia amnya. Kita sedang menghadapi satu ujian yang besar dan kita harap semua pihak yang terlibat untuk terus bersabar serta muhasabah,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika bercemar duli melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia yang menempatkan 180 mangsa daripada 43 keluarga.

Turut bercemar duli, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Kewangan II yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Mohd Shahar Abdullah; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Asmaliza Ku Lah.

Seri Paduka bertitah, pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Pahang diminta supaya dapat bertindak lebih proaktif terutamanya di kawasan pedalaman untuk membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Kebimbangan saya, mereka yang diluar kawasan yang juga kawasan-kawasan pedalaman. Saya dan Permaisuri juga ada dapat mesej melalui Twitter, WhatsApp berkaitan ada pihak yang tidak dapat menerima bantuan dan terperangkap di satu-satu tempat yang tidak ada bantuan dengan segera.

“Dan saya harap khususnya pihak yang mempunyai aset-aset seperti helikopter harus berperanan lebih aktif untuk pergi meninjau kawasan-kawasan itu.

“Mungkin telah sampai masanya untuk kita letak satu penanda aras, tanda isyarat, supaya mereka (mangsa) dapat mempunyai hubungan yang seterusnya di masa-masa kecemasan ini.

“Inilah harapan saya dan saya harap pihak PKOB ini harus lebih proaktif supaya dapat sentiasa bertindak (membantu) khususnya di kawasan- kawasan pedalaman dan mudahan ini dapat bantu mereka (mangsa) dengan lebih segera dan lebih selamat,” titah baginda.

Baginda juga turut bertitah mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun ditimpa musibah banjir bagi mengelak berlakunya penularan wabak COVID-19.

“Saya ingatkan sekali lagi dalam pematuhan SOP supaya tidak ada penularan dan jangkitan dan kita tidak mahu mana-mana keluarga atau petugas-petugas ini terkena wabak COVID-19.

“Saya harap semua pihak patuh pada SOP, cuci tangan dan pakai pelitup muka. Walaupun kita ada tugasan di setiap pusat (PPS) tapi SOP jangan dilupakan,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 639 total views,  3 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download