KUANTAN, 12 DISEMBER 2020: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah berkenan memberikan sumbangan makanan KFC kepada petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini hari ini.
Sumbangan berkenaan disampaikan Juruiring Yang Di-Pertuan Agong, Brig. Jen. Dato’ Zahari Mohd. Ariffin, Pegawai Khas Sultan Pahang, YH. Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad dan Pegawai Khas (Kebajikan), YH. Datuk Abdul Rahman Endut.
Sumbangan makanan itu diserahkan kepada ketua wakil setiap agensi yang terlibat iaitu membabitkan seramai 80 petugas yang terdiri daripada polis, tentera, Jabatan Kesihatan Negeri, RELA dan APM.
Seramai 131 pesakit COVID-19 bukan warganegara dari Kluster Genting ditempatkan di SUKPA sejak malam tadi.
Penggunaan SUKPA sebagai pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) adalah kerana stadium itu mempunyai kemudahan asas yang mencukupi untuk merawat kes-kes COVID-19 asymptomatic atau dengan gejala ringan dalam jumlah yang besar.
Selain itu, stadium ini juga berdekatan dengan hospital berpakar iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre University Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) Kuantan yang mempunyai kepakaran dan peralatan yang mencukupi untuk rawatan kes-kes kritikal. – PAHANGMEDIA
1,569 total views, 3 views today