KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong meninjau keadaan banjir dari udara ketika Baginda dalam perjalanan menziarahi mangsa banjir di daerah Lipis, hari ini.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG MINTA SEMUA PIHAK BERGANDING BAHU BANTU MANGSA BANJIR

Oleh : Fansurina Abdullah

KUALA LIPIS, 7 JANUARI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menyeru semua pihak berganding bahu memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

Seri Paduka Baginda bertitah, kesemua mangsa kini berhadapan dengan ujian getir apabila kehilangan rumah dan semua harta benda musnah ekoran kejadian banjir besar yang melanda sembilan daerah di negeri ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengurniakan sumbangan kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir.

“Saya berharap ujian besar dari Allah SWT iaitu musibah banjir ini akan dapat dibantu oleh semua pihak khususnya kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahu pun pihak persendirian.

“Saya juga ingin mengingatkan pihak berwajib kalau boleh selepas pasca banjir ini, penuhilah bantuan terhadap mereka yang kehilangan rumah dan harta, semua ini perlu diberi perhatian yang teliti dan saya sendiri akan melihat segala bantuan yang boleh dihulurkan kepada pihak memerlukan,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli menziarahi mangsa banjir di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Lipis iaitu di Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa.

Kedua-dua PPS masing-masing menempatkan 95 mangsa daripada 41 keluarga dan 220 mangsa daripada 81 keluarga.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Seri Paduka juga turut menyatakan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat termasuklah pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM), pasukan polis, tentera, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat dan semua pihak atas usaha mereka membantu mangsa-mangsa banjir ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dibawa menaiki bot untuk memantau keadaan banjir di Lipis.

Baginda Tuanku juga turut menasihati semua mangsa agar patuh kepada arahan pihak berkuasa dalam menjaga kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung COVID-19 agar tidak tersebar di PPS.

Sebanyak 47 PPS telah dibuka di daerah itu dengan menempatkan seramai 2,671 mangsa daripada 738 keluarga manakala sebanyak tiga PPS telah ditutup sehingga semalam ekoran banjir yang telah surut.

Selesai pengurniaan sumbangan dan menziarah kesemua mangsa di dua PPS terbabit, Seri Paduka kemudian berangkat melawat kesan banjir di daerah Lipis sebelum menaiki bot menuju ke Kampung Binjai, di sini, yang masih lagi tenggelam dan kesemua penduduk di kampung terbabit terputus hubungan kerana jambatan yang menghubungkan mereka masih ditenggelami air. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download