TEMERLOH, 6 JANUARI 2021: Selepas daerah Raub dan Maran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meneruskan ziarah Baginda ke daerah Temerloh petang semalam bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam ziarah KDYMM Tuanku ke daerah Temerloh, Baginda meluangkan masa selama lima jam bermula pada jam 4.30 petang dengan menziarahi 11 PPS dan sebuah masjid yang ditenggelami air iaitu Masjid Kampung Raja.
Malah KDYMM Tuanku juga turut memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir untuk menziarahi mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cermin.
KDYMM Tuanku turut menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di PPS serta mengurniakan sumbangan peribadi serta sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Keberangkatan Tuanku itu diiringi ; Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Mohamed Said; Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Lanchang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Kerdau, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Merangkap Ahli Parlimen Kuala Krau, YB Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Mohamed Said serta Pegawai Daerah Temerloh, YH Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Selain PPS SK Bukit Cermin, PPS lain yang diziarahi KDYMM Tuanku ialah SK Sungai Gau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khee Chee, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan, SMK Temerloh Jaya, SMK Kerdau, Dewan MIC Kuala Krau, SMK Kuala Krau, Dewan JKKK Kuala Krau, Balai Raya Kampung Guntong Kelibang dan Surau Tanjung Kubu.
Sehingga jam 10 pagi tadi, seramai 3,647 mangsa daripada 969 keluarga ditempatkan di 46 PPS di daerah Temerloh. – PAHANGMEDIA
790 total views, 3 views today