BENTONG, 11 JUN 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat menziarah mangsa kejadian ribut di Felda Sungai Kemahal di sini hari ini.
Baginda yang diiringi Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim turut berkenan mengurniakan bantuan kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.
Kejadian bencana ribut yang berlaku petang semalam telah mengakibatkan sebanyak 52 buah rumah dan 9 unit bangunan awam terdiri dari masjid, surau, tadika, klinik, pasar dan kedai-kedai mengalami kerosakan.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong pada masa ini dengan kerjasama pengurusan Felda Sungai Kemahal telah melakukan siasatan dan anggaran kerosakan untuk menentukan kos baik pulih yang perlu dilaksanakan.
Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bentong bersama-sama pihak Felda telah menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. – PAHANGMEDIA