Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali
PEKAN, 15 OGOS 2020 – Kesemua penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang diminta supaya menjaga kemuliaan gelaran yang dibawa masing-masing.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, setiap gelaran dan kemuliaan datang bersama tugas dan amanah yang wajib dijunjung.
“Jangan sesekali bersikap riak dan angkuh sebaliknya ambillah resmi padi, makin berisi makin menunduk,” titah baginda Sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-61 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.
Baginda turut menyeru agar kesemua penerima darjah kebesaran dapat memberi sumbangan yang sebaiknya kepada Negeri Pahang dan rakyat baginda.
Dalam titah tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang turut menitikberatkan isu perpaduan menerusi pembangunan adab di kalangan masyarakat di negara ini.
Ia bertujuan memupuk semangat dan hormat kepada pemerintahan dan pentadbiran negara yang dipimpin oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Titah baginda, pembentukan adab ini menjadi tunggak kepada integriti dalam mengurus pentadbiran negara dan dapat dibentuk melalui latihan dan tarbiyah rohani yang lengkap dan tersusun.
“Tanpa kehadiran jiwa yang menyerah diri sepenuhnya kepada yang maha pencipta, maka apa yang dilaksanakan semasa diberikan kuasa dan amanah akan tersasar jauh dari jalan-jalan yang diberkati dan diredhai Allah SWT,” titah baginda.
Justeru baginda turut menyarankan agar nilai-nilai murni yang diamalkan selama ini bukan sahaja perlu dipertahankan, malah diperkukuhkan dengan mentaati kepada pemimpin sebagaimana diperintahkan oleh Allah.
Baginda juga turut menekankan aspek perpaduan di kalangan masyarakat meski pun wujud pelbagai cabaran dalam persekitaran yang sentiasa berubah pada masa kini.
Rakyat juga diminta supaya sentiasa patuh kepada kuasa eksekutif yang silih berganti dalam mentadbir kerajaan kerana kuasa mutlak pemerintahan masih terletak di bawah naungan payung Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang menjadi wakil kepada Majlis Raja-raja Melayu. – PAHANGMEDIA