Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap wakil lapan badan korporat Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan-Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN TERIMA SERAHAN ZAKAT RM 12.8 JUTA DARIPADA 8 BADAN KORPORAT

Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 2 SEPTEMBER 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur apabila kutipan zakat Negeri Pahang masih berada di landasan yang baik meskipun ekonomi dunia menghadapi zaman kemelesetan akibat pendamik COVID-19.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang bertitah, sehingga hujung Ogos 2020, kutipan zakat Negeri Pahang mengalami peningkatan 1.5 peratus atau RM1.2 juta berbanding tempoh yang sama tahun 2019, manakala bilangan pembayar meningkat sebanyak 1,014 orang berbanding tahun 2019.

Baginda bertitah, sehingga 31 Ogos 2020, seramai 81,104 pembayar zakat harta telah membayar zakat dengan jumlah RM81.4 juta berbanding 80,090 pembayar zakat harta dengan jumlah RM79.9 juta dalam tempoh yang sama tahun 2019 termasuk badan-badan korporat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Pengarah Tabung Haji Negeri Pahang, Puan Hajjah Musalimah Mustafa pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan-Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.

“InsyaAllah dengan pembayaran zakat beberapa badan korporat pada hari ini ianya akan melonjakkan lagi prestasi kutipan zakat untuk tahun ini,” titah baginda.

Terdahulu, KDYMM Tuanku berkenan menerima serahan zakat perniagaan lapan badan-badan korporat dengan jumlah RM12,839,426.67 yang juga merupakan majlis penyerahan zakat kali pertama selepas enam bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Istana Abdulaziz di sini, hari ini.

Lapan badan korporat yang menyerahkan zakat perniagaan itu adalah Lembaga Tabung Haji dengan jumlah RM4,715,801.28; Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dengan jumlah RM3,104,800.09; Tenaga Nasional Berhad (RM2,369,647.81); Kumpulan Bank Rakyat (RM1,030,573); Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM834,000); Bank Islam Malaysia Berhad (RM365,000); QSR Brands Malaysia Holding Berhad (RM259,027) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM160,577.49).

KDYMM Tuanku bertitah, penyumbang terbesar bagi kutipan zakat adalah daripada sektor potongan gaji iaitu sebanyak RM41.1 juta dan bayaran daripada badan-badan korporat serta sektor perniagaan dengan sumbangan sebanyak RM20 juta (tidak termasuk bayaran hari ini).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Ketua Pegawai Korporat TNB, YBhg Datuk Wira Roslan Ab Rahman pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan-Badan Korporat di Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.

Titah baginda, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang telah mengenal pasti lima bidang utama yang perlu dilaksanakan bagi mencapai sasaran strategi kutipan zakat tahun ini iaitu Z-Barakah (Zakat Pendapatan), Z-Step (Zakat Simpanan, Ternakan, Emas dan Pertanian), Z-Tijari (Zakat Perniagaan), Z-ProDak (Zakat Dakwah dan Promosi) serta Z-Smart (Aplikasi ICT).

Baginda juga bertitah, PKZ terus komited melaksanakan program Wajib Taksir Zakat (WTZ) dengan menghantar borang taksiran zakat pendapatan kepada 30,361 kakitangan berjawatan tetap yang berkhidmat di Negeri Pahang.

“Dengan sokongan badan-badan korporat dan juga orang ramai, insyaAllah PKZ Pahang menjangkakan akan berjaya mencapai sasaran kutipan zakat bagi tahun 2020 iaitu sebanyak RM150 juta dan pembayar seramai 95,000 orang.

“Melalui peningkatan amaun kutipan zakat ini, insyaAllah akan dapat dinikmati oleh para asnaf melalui peningkatan agihan yang dilaksanakan oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP),” titah baginda.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download