Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan sumbang kepada mangsa banjir ketika mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran, hari ini.

KDYMM AGONG MINTA MANGSA BANJIR PATUHI SOP

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

MARAN, 5 JANUARI 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah meminta semua pihak termasuk mangsa banjir terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di pusat pemindahan sementara (PPS).

Seri Paduka Baginda bertitah, walaupun ditimpa musibah banjir, mangsa perlu menjaga SOP ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak berlakunya penularan baharu wabak COVID-19.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Raja Permaisuri Agong berkenan bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran, hari ini.

“Saya ingin nasihat walaupun keadaan ini susah dan ujian kepada kita, tetapi SOP perlu dijaga. Saya bimbang jika kita tidak ikut SOP akan berlaku penularan COVID-19.

“Dalam keadaan banjir ini, khususnya di pusat pemindahan, semua harus patuhi SOP. Saya doakan keadaan di sini terus pulih,” titah Seri Paduka Baginda.

KDYMM Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika bercemar duli mendengar Taklimat Bencana Banjir Daerah Maran dan melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran, di sini, hari ini.

Turut bercemar duli, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj; Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Raja Permaisuri Agong berkenan bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Maran, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Seramai 361 mangsa daripada 56 keluarga ditempatkan di sekolah itu sejak banjir melanda daerah Maran, Jumaat lalu.

Baginda berdua kemudiannya meninjau keadaan mangsa dan mengurniakan sumbangan kepada semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkenaan.

Seri Paduka Baginda juga meminta semua petugas perlu memastikan pengurusan di PPS beroperasi dengan sempurna dan melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong meminta semua pihak termasuk mangsa banjir terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutamanya di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika mengadakan lawatan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Maran, hari ini.

“Peranan dan tanggungjawab itu adalah satu amanah dan tidak sepatutnya dilakukan secara sambil lewa hingga menyulitkan mangsa banjir.

“Saya harap petugas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara melakukan tugas mereka dengan baik dan sempurna, lakukan amanah dengan baik,” titah baginda.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara ketika dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan turut meredah laluan di KM113 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) yang masih ditenggelami banjir. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download