KUANTAN, 17 DISEMBER 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin Dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di SUKPA, di sini petang semalam.
Sumbangan berupa 30 buah tilam (toto) dan 50 tuala itu diserahkan oleh wakil KDYMM Tuanku di bilik gerakan PKRC sebagai tanda keprihatinan Baginda Tuanku untuk kegunaan petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di Negeri Pahang.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Pegawai Khas Kepada KDYMM Sultan Pahang, YH Tok Aria Rakna Ahmad Norbadelin Dato’ Haji Murad dan Pegawai Khas (Hal Ehwal Kebajikan) kepada KDYMM Sultan Pahang, YH Dato’ Haji Abdul Rahman Endut manakala Dr Rafidah Mohd Salleh menerimanya bagi pihak PKRC.
Dalam kunjungan itu juga, taklimat ringkas diberikan oleh Pegawai Bertugas Bilik Gerakan iaitu ASP Hisham Abd Hamid berkenaan penugasan, jumlah pesakit dan sebagainya.-PAHANGMEDIA
1,384 total views, 3 views today