Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Aging Al-Sultan Abdullah Ri'atuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah .

KDYMM AGONG AKAN ADAKAN RUNDINGAN DENGAN RAJA-RAJA MELAYU BINCANG CADANGAN YAB PERDANA MENTERI

KUANTAN, 24 OKTOBER 2020: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’atuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sesi menghadap pada jam 5 petang di Istana Abdulaziz, di sini semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, YH Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, sesi menghadap itu telah dipohon oleh YAB Perdana Menteri susulan daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh beliau di Putrajaya pada pagi semalam.

Beliau berkata, dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang telah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri tersebut untuk pertimbangan dan perkenan Seri Paduka Baginda untuk pelaksanaannya.

“Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 .

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Kenyataan Media Istana Negara.

YH Dato’ Indera Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidal panik dan bersabar dalam menghadapi situsi terkini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

Beliau juga berkata, seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugat ketenteraman negara.

Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka Baginda kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri dan masyarat.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: