Ketua Pengarah Kastam, Dato' Abdul Latif Abdul Kadir bersama timbalannya dan pengarah-pengarah Kastam seluruh Malaysia mengadakan mesyuarat di Hotel Zentih di sini, hari ini.

KASTAM JELAS BAYARAN BALIK CUKAI GST RM1.264 BILION

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim.

KUANTAN, 07 JULAI 2020 : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menjelaskan pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM1.264 bilion setakat 2 Julai lepas.

Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Abdul Latif Abdul Kadir berkata proses bayaran balik GST ini telah dilakukan bermula dari 22 Jun lepas.

“Setakat tempoh 22 Jun sehingga 2 Julai, sebanyak RM1.264 bilion tuntutan GST telah pun dijelaskan dan pembayaran balik ini melibatkan 4,316 syarikat.

“Tuntutan yang dibuat oleh syarikat ini juga meliputi pelbagai jumlah bayaran, ada yang RM10,000, ada RM5,000 dan ada juga RM2,000. Ianya pelbagai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pembayaran balik GST di Hotel Zentih di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Abdul Latif Abdul Kadir.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan, Dato’ Johari Alifiah; dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Bahagian Pengurusan, Tuan Mohd Yunus Charlie Charington; Penolong Ketua Pengarah Kastam Bahagian Cukai Dalam Negeri, Dato’ Radziah Abdul Razak; dan Pengarah Kastam Pahang, Maimon Zaid.

Beliau berkata kaedah pembayaran dahulu dan audit kemudian ini dilakukan bagi syarikat terpilih berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dengan kriteria tertentu.

“Usaha ini selaras dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Keputusan ini diharap dapat menjana semula ekonomi negara supaya ekonomi negara yang terjejas akibat wabak COVID-19 ini dapat bergerak semula,” katanya.

Beliau berharap isu pembayaran balik GST yang masih berbaki ini dapat diselesaikan selewat-lewatnya 31 Disember ini.

“Jabatan Kastam harap isu pembayaran balik GST ini seperti yang diumumkan Menteri Kewangan selesai 31 Disember 2020 kerana peruntukannya telah ada dan kita sedia untuk bayar sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Yang sebelum ini (syarikat yang terima pembayaran balik) dah bayar habis. Yang tinggal sekarang adalah baki daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata bagi syarikat yang masih belum menerima tuntutan pembayaran balik GST, mereka boleh membuat semakan dengan JKDM dalam kadar segera.

“Bagi syarikat yang masih belum terima tuntutan pembayaran balik GST, semakan boleh dibuat dengan mengakses akaun syarikat iaitu Taxpayer Access Point (TAP)- MyGST, atau email makluman tuntutan ke refundgst@customs.gov.my.

“Mereka juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Kastam (CCC) di talian 1-300-88-8500 atau email kepada ccc@customs.gov.my, atau pun boleh merujuk kepada stesen JKDM di bahagian cukai dalam negeri yang terdekat,” katanya.

Dalam satu kenyataaan media pada 15 Jun lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengarahkan JKDM mempercepatkan proses pembayaran balik GST yang tertangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download