Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pagi ini turut meninjau keadaan tanah runtuh dan bertemu penduduk Orang Asli Kampung Bangkong di Pekan.

KAMPUNG ORANG ASLI DI BEBAR MULA DILANDA BANJIR, JALAN UTAMA RUNTUH

Oleh : Mahathir Ali

PEKAN, 01 JANUARI 2021: Jalan utama ke Kampung Bangkong Mukim Bebar di Paloh Hinai di sini runtuh akibat hujan lebat dan arus air yang deras sejak malam tadi.

Manakala di Kampung Runchang pula lebih 25 buah rumah penduduk mula dinaiki air sejak semalam malah jambatan menuju ke kampung tersebut bahaya untuk digunakan buat masa ini kerana mula dilimpahi air Sungai Runchang yang deras mengalir.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pagi ini turut meninjau keadaan tanah runtuh dan bertemu penduduk Orang Asli di situ.

Rumah penduduk di Kampung Runchang di Pekan mula dinaiki air banjir.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar ketika bertemu penduduk Orang Asli telah meminta mereka sentiasa berhati-hati, mengambil segala langkah keselamatan dan bersiap sedia untuk dipindahkan sekiranya hujan lebat berterusan dan menyebabkan banjir terjadi.

“Saya lihat keadaan air sungai di Runchang semakin meningkat naik, hujan pula masih berterusan pagi ini. Saya harap penduduk sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia jika diarahkan untuk berpindah,” katanya.

 

“Kerajaan Negeri bersama pihak bertanggungjawab sentiasa memantau keadaan di sini dari masa ke semasa. Malah wakil pejabat Dewan Negeri Bebar juga diarahkan terus berada di Kampung Runchang bagi memantau keadaan terkini serta bersiap sedia menghulurkan segala bantuan sekiranya penduduk terpaksa dipindahkan.

“Saya juga ingin menasihatkan semua penduduk Bebar yang berada di kawasan banjir agar menjaga keluarga mereka terutamanya kanak-kanak agar tidak bermain dengan banjir. Pelbagai kejadian tidak diingini boleh terjadi. Teruskan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Kepimpinan setempat juga diminta sentiasa mengambil berat dan memantau keadaan terkini di kampung masing-masing. Segera maklumkan kepada pihak berkuasa, kepada wakil pejabat Dewan Negeri Bebar dan juga kepada saya sekiranya keadaan air semakin meningkat agar tindakan dan bantuan segera dapat dilakukan,” katanya kepada Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pagi ini turut meninjau keadaan tanah runtuh dan bertemu penduduk Orang Asli Kampung Bangkong di Pekan.

Kampung Bangkong dan Kampung Runchang merupakan perkampungan Orang Asli yang berada dalam Dewan Negeri Bebar. Seramai 931 penduduk berada di Kampung Runchang manakala 179 penduduk di Kampung Bangkong.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan berkenaan Jalan utama Kuantan-Segamat di kilometer 63 dan 73 telah ditutup berikutan kejadian tanah runtuh pada pukul 10 pagi tadi.

Pengguna dari arah Segamat boleh menggunakan Jalan Leban Chondong (Muadzam Shah) melalui Rompin-Nenasi -Pekan dan seterusnya ke Kuantan. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 3,199 total views,  18 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download