Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada Tabika Kemas Kota Perdana.

KAMPUNG DISARAN WUJUDKAN MEDIA SOSIAL

Oleh: Mahathir Ali

PEKAN, 25 OKTOBER 2020: Setiap kampung di negeri ini disaran mewujudkan rangkaian media sosial sendiri seperti Facebook, Instagram dan Youtube, sebagai salah satu usaha merapatkan silaturrahim serta bagi menyampaikan maklumat yang lebih berkesan kepada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, usaha mewujudkan media sosial yang mewakili kampung ini amat penting selari dengan peningkatan penggunaan teknologi maklumat yang begitu pesat membangun termasuk yang sedang dilaksanakan Kerajaan Pahang hari ini.

“Ia juga dapat mewujudkan muafakat antara penduduk yang berperanan meningkatkan imej kampung mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Keluarga Tabika Kemas Kota Perdana di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar berkata, melalui media sosial, pelbagai maklumat dapat dikongsikan dengan lebih pantas, malah penduduk juga dapat mempromosikan kampung mereka, perniagaan yang dijalankan, tempat menarik, pendidikan anak-anak dan aktiviti yang akan diadakan di kampung dengan lebih meluas.

“Disamping itu, JKKK juga dapat menjadikan media sosial sebagai medium dalam menyampaikan maklumat tentang segala usaha yang dilakukan Kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi membantu dan membela nasib rakyat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri kepada JKKK Kampung Kota Perdana.

Beliau berkata, anak-anak yang bekerja di ibu kota malah penduduk di luar negeri Pahang juga akan mendapat maklumat yang lebih jelas dan tepat tentang keadaan semasa di sesebuah kampung itu.

“Ia juga sebagai salah satu usaha bagi menangkis fitnah sekiranya perkara tidak benar berkenaan kampung itu tersebar.
Saya juga berharap penduduk dapat menggunakan media sosial sebaik mungkin dengan beretika.

“Sampaikanlah maklumat yang tepat tanpa menguris hati mana-mana pihak. Gunakanlah media sosial untuk merapatkan silaturrahim, menyampaikan maklumat tentang usaha Kerajaan Pahang, melakukan jualan secara online dan sebagainya secara berhemah,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download