Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 14 JANUARI 2021 : “Kami memang sangat memerlukan bantuan barangan bagi menggantikan barangan yang telah rosak kerana banjir,” ujar Timbalan Pengerusi Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Fakir Miskin Perempuan Permata Al-Insyirah.
Encik Nor Hamizi Jamaluddin berkata banjir baru-baru ini telah menyebabkan perkakasan terutamanya peralatan elektrik di rumah berkenaan rosak sepenuhnya.
“Air masuk lebih kurang tiga kaki dan tidak surut selama tiga hari menyebabkan peralatan elektrik dan kelengkapan anak-anak di sini rosak.
“Jadi sumbangan ini sangat diperlukan bagi memastikan anak-anak di sini yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi dapat berbuat demikian,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menerima bantuan di sini hari ini.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Delegasi yang juga Pengarah Program Bantuan, En. Mohammad Aljunaibi berupa tilam, mesin basuh, peti ais, kipas, periuk nasi, televisyen, oven, dapur gas dan kuali selain pek barangan makanan.
Nor Hamzi berkata setakat ini, sumbangan ini merupakan sumbangan pertama yang diterima pihaknya dan merasa amat bersyukur.
“Kita cuma nak anak-anak ini dapat duduk dengan selesa, dan barangan kelengkapan yang rosak kerana ditenggelami air dapat diganti.
“Tambahan pula ruang tidur anak-anak ini berada di tingkat bawah dan apabila berlaku banjir, barangan peribadi termasuklah tilam tenggelam sepenuhnya dan tidak lagi boleh digunakan.
“Saya mewakili pihak rumah ini mengucapkan terima kasih kepada pihak Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kerajaan Pahang kerana mengambil berat dengan nasib kami,” katanya.
Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Fakir Miskin Perempuan Permata Al-Insyirah yang dibuka sejak 11 tahun lepas menempatkan 25 kanak-kanak perempuan berusia 4 hingga 17 tahun.
Pihak UAE menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE menyediakan bantuan banjir kepada 7,000 keluarga mangsa di seluruh negeri Pahang yang diserahkan kepada Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Selasa lepas. -PAHANGMEDIA